Sultan Johor terima taklimat Pulau Batu Puteh

Sultan Ibrahim (kiri) berkenan menerima menghadap Wan Junaidi di Istana Pasir Pelangi, Johor Bahru pada Khamis. - Foto FB Sultan Ibrahim Sultan Iskandar
Sultan Ibrahim (kiri) berkenan menerima menghadap Wan Junaidi di Istana Pasir Pelangi, Johor Bahru pada Khamis. - Foto FB Sultan Ibrahim Sultan Iskandar
A
A
A

JOHOR BAHRU - Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan menerima menghadap Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, di sini pada Khamis.

Pertemuan berlangsung lebih sejam di Istana Pasir Pelangi dengan perbincangan tertumpu kepada isu Pulau Batu Puteh.

Hadir sama pada pertemuan itu Yang Dipertua Jumaah Majlis DiRaja Johor, Datuk Dr Abdul Rahim Ramli.

Pada 14 Oktober lalu, Sultan Ibrahim bertitah, tindakan perlu diambil ke atas mereka yang bertanggungjawab jika benar ada pihak yang melakukan kecuaian dan kekhilafan dengan tidak meneruskan permohonan semakan dan pentafsiran kes Pulau Batu Puteh.

Baginda mahukan penjelasan di sebalik tindakan kerajaan ketika pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad pada tahun 2018 untuk tidak meneruskan permohonan semakan ke atas penghakiman kes Pulau Batu Puteh di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).

Pada 9 Oktober lalu, kabinet mencapai persetujuan agar pasukan petugas khas diwujudkan bagi tujuan semakan semula undang-undang berkenaan isu Pulau Batu Puteh.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pasukan petugas khas itu akan membuat kajian menyeluruh, meneliti dan mencadangkan pilihan yang bersesuaian dengan mendapatkan pandangan daripada pakar undang-undang antarabangsa.

Katanya, usaha itu bertujuan untuk menyemak semula undang-undang berkenaan permohonan semakan kes Pulau Batu Puteh.

Artikel Berkaitan:

Seterusnya Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad dalam satu kenyataan pada 10 Oktober memaklumkan, kerajaan negeri memberi jaminan akan bekerjasama dan membantu pasukan petugas khas kerajaan Persekutuan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!