Maktabah Digital tempatkan 5,000 buku digital rujukan agama

Saarani merasmikan Maktabah Digital yang dilaksanakan secara maya pada Khamis.
Saarani merasmikan Maktabah Digital yang dilaksanakan secara maya pada Khamis.
A
A
A

IPOH - Jabatan Mufti Negeri Perak memperkenalkan Maktabah Digital yang menempatkan pelbagai bahan rujukan agama secara digital.

Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad berkata, pembangunan Maktabah Digital ini mempunyai empat modul utama yang berfokus kepada pengurusan penyelarasan pinjaman dan pemulangan buku, dokumentasi dan kajian, penerbitan dan multimedia serta galeri arkib.

Menurutnya, sistem tersebut bertujuan memberi kemudahan kepada pegawai membuat rujukan bagi kajian isu-isu semasa, memberi perkhidmatan kepada guru-guru agama tauliah, para penyelidik, pengkaji ilmu falak dan orang awam mendapatkan bahan- bahan rujukan berautoriti secara digital melibatkan kira-kira 5,000 naskhah buku merangkumi pelbagai judul.

"Hasil kajian ilmiah oleh para penyelidik memerlukan satu platform yang diintegrasikan dengan karya grafik supaya memudahkan sistem penyampaian sekali gus menarik minat masyarakat terhadap kajian ilmiah yang dikeluarkan oleh badan berautoriti.

"Pengumpulan bahan-bahan ilmiah dan penerbitan yang mempunyai nilai sejarah dan rujukan autentik perlu didokumentasikan secara digital ke dalam sistem ini bagi mengelakkan kepupusan, kerosakan dan kehilangan bahan tersebut," katanya ketika berucap merasmikan Maktabah Digital yang dilaksanakan secara maya pada Khamis.

Menurutnya, kitab-kitab turath yang merupakan khazanah ilmu alim ulama Islam perlu dipersembahkan kembali pada masyarakat dalam bentuk digital yang diberi nafas baharu.

Saarani berkata, platform digital ini akan membantu mengembangkan syiar Islam di negeri ini melalui pendigitalan kitab-kitab rujukan agama Islam berautoriti pelbagai mazhab dan aliran khususnya mazhab Syafie.

Menurutnya, usaha yang dilakukan Jabatan Mufti Negeri Perak sesuatu yang membanggakan ke arah merealisasikan kerajaan digital seperti yang telah diumumkan oleh kerajaan.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!