UniSZA tumpu kajian pembiakbakaan jagung

UniSZA melalui FBIM memberi tumpuan terhadap kajian pembiakbakaan tumbuhan khususnya berkaitan industri jagung.
UniSZA melalui FBIM memberi tumpuan terhadap kajian pembiakbakaan tumbuhan khususnya berkaitan industri jagung.
A
A
A

KUALA NERUS - Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) melalui Fakulti Biosumber dan Industri Makanan (FBIM) memberi tumpuan terhadap kajian pembiakbakaan tumbuhan khususnya berkaitan industri jagung.

Pensyarah FBIM, Dr Fahmi Abu Bakar berkata, inisiatif itu diambil menerusi kerjasama dengan beberapa institusi penyelidikan dan pengajian tinggi yang berpusat di Mexico.

Beliau berkata, beberapa siri perbincangan bersama institusi di Mexico telah diadakan pada September dan Oktober 2021.

"Kerjasama ini melibatkan penyelidikan dan pembelajaran bagi meningkatkan pengetahuan serta kemahiran dalam bidang pembiakbakaan tumbuhan terutamanya jagung dan beberapa jenis tanaman lain.

"Antara institusi terlibat ialah The International Maize and Wheat Improvement Center (CIMMYT), Colegio de Postgraduados en Ciencias Agricolas (COLPOS) dan Universidad de Guadalajara.

"Ia turut dihadiri wakil Pusat Antarabangsa UniSZA dan Pengarah Green World Genetics (GWG) yang merupakan antara industri utama terlibat dalam pembangunan biji benih dan penyelidikan berkaitan jagung di dunia," katanya menerusi kenyataan pada Khamis.

Mengulas lanjut, Dr Fahmi berkata, perbincangan awal mengenai kerjasama itu telah dihadiri wakil organisasi terlibat termasuk Ahli Jawatankuasa Jaringan FBIM sebagai urusetia program.

"Dalam sesi perbincangan ini, kesemua pihak bersetuju untuk mengadakan beberapa aktiviti yang boleh diadakan dalam tempoh terdekat.

Artikel Berkaitan:

"Antara aktiviti dirancang ialah perkongsian antara pakar dari kedua-dua negara, perkongsian budaya Malaysia dan Mexico, latihan kepada kakitangan dan pelajar berkaitan dengan pembiakbakaan tumbuhan, penanaman benih jagung yang akan dibekalkan oleh pihak CIMMYT di ladang UniSZA serta pembangunan bank biji benih jagung di Malaysia dengan kerjasama industri iaitu Green World Genetics (GWG), " jelasnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, FBIM telah mula menawarkan program Sarjana Muda Teknologi Pembiakbakaan Tumbuhan secara mod industri bermula Oktober 2021.

"Kerjasama FBIM dengan kesemua institusi ini diharap dapat membantu untuk meningkatkan kefahaman dan berkongsi pengalaman mengenai program pembiakbakaan tumbuhan terutamanya berkaitan industri jagung.

"Ia juga dapat membantu pihak FBIM untuk meningkatkan pengetahuan dan teknik dalam bidang pembiakbakaan tumbuhan dalam kalangan kakitangan akademik serta pelajar selain menjadi salah satu hub rujukan dalam bidang pertanian di Pantai Timur," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!