Krisis Myanmar: ASEAN perlu tangani secara menyeluruh
KUALA LUMPUR - Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah mengulangi perlunya penyelesaian menyeluruh secara bersama di peringkat ASEAN bagi menangani keadaan semasa di Myanmar.
Saifuddin berkata demikian dalam ucapan pembukaannya pada Dialog Serantau ke-2 mengenai Hak Asasi Manusia dan Demokrasi di Myanmar yang dianjurkan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) pada Khamis.
“Kebimbangan antarabangsa semakin meningkat mengenai situasi di Myanmar. Pada Rabu, 99 CSO (organisasi masyarakat sivil) dan 15 individu menyerahkan memorandum kepada Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), agar beliau memimpin usaha di peringkat atasan untuk menangani krisis itu,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Pada Jun, Saifuddin berkata, PBB meluluskan resolusi yang mendesak junta menghormati keputusan pilihan raya Myanmar pada November 2020, dan pada awal Februari, Majlis Hak Asasi Manusia PBB meluluskan resolusi mengenai implikasi hak asasi manusia akibat krisis itu.
Bagi ASEAN, Saifuddin mencadangkan semua pihak berkepentingan - ahli politik, akademik, aktivis dan pegawai - harus menyelami keadaan semasa sebenar bagi memungkinkan blok serantau itu berganjak daripada prinsip tidak campur tangan, ke arah penglibatan konstruktif atau "non-indifference”.
Sejak pemerintahan Aung San Suu Kyi digulingkan tentera Myanmar pimpinan Jeneral Kanan Min Aung Hlaing pada 1 Februari, berlaku pergolakan dalaman yang menyaksikan hampir 1,000 orang awam terbunuh akibat kekerasan pasukan keselamatan.
Pada April, ASEAN sepakat merumuskan Konsensus Lima Perkara untuk membantu menyelesaikan konflik di Myanmar tetapi setakat ini belum ada sebarang kemajuan. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!