Pam air loji kumbahan rosak punca banjir kilat

Pam air di loji kumbahan di Taman Saujana Jati, Klang yang didakwa rosak dan menjadi punca banjir di kawasan berkenaan pada petang Rabu. (Gambar kecil: Mathurai, Haisa, Ashvinee Nair)
Pam air di loji kumbahan di Taman Saujana Jati, Klang yang didakwa rosak dan menjadi punca banjir di kawasan berkenaan pada petang Rabu. (Gambar kecil: Mathurai, Haisa, Ashvinee Nair)
A
A
A

KLANG - Pam air di loji kumbahan di Taman Saujana Jati di sini yang rosak menyebabkan banjir kilat yang melanda kawasan tersebut pada Rabu menjadi lebih teruk berbanding sebelum ini.

Tinjauan Sinar Harian di kawasan perumahan tersebut pada Khamis mendapati banjir di kawasan tersebut telah surut dan penduduk mula mengemas rumah mereka yang dinaiki air akibat hujan lebat pada petang Rabu.

Bagaimanapun, kawasan berkenaan didapati masih belum bersih sepenuhnya kerana jalan-jalan masih dipenuhi dengan daun kering dan ranting kayu yang hanyut setelah banjir surut sekitar jam 5 pagi Khamis.

Salah seorang penduduk, Logeswaran Subramaniam, 40, berkata, air banjir mula memasuki rumahnya dengan pantas sekitar jam 5.30 petang ketika dia masih bekerja.

Keluarga Logeswaran sedang mencuci lantai rumah mereka yang dilanda banjir di Taman Saujana Jati, Klang (Gambar kecil: Logeswaran )
Keluarga Logeswaran sedang mencuci lantai rumah mereka yang dilanda banjir di Taman Saujana Jati, Klang (Gambar kecil: Logeswaran )

Jelasnya, dia yang bergegas pulang ke rumah selepas mengetahui kawasan berkenaan dilanda banjir berasa sedih apabila melihat bahagian dalam rumahnya dinaiki air setinggi kira-kira 0.5 meter yang merosakkan hampir semua barangan di dalam rumahnya seperti peti sejuk, sofa dan lain-lain.

"Taman ini menggunakan pam motor di loji kumbahan, jadi apabila ia tidak berfungsi, air tidak dapat mengalir keluar ditambah pula dengan keadaan longkang yang tersumbat.

Artikel Berkaitan:

"Saya terpaksa menanggung kerugian sekitar RM13,000 meliputi kerosakan barangan di dalam rumah yang terpaksa dibuang.

"Tapi paling saya kesali, peralatan sembahyang yang baru saya beli sekitar RM2,800 juga rosak kerana kaki kayunya mengembang kerana ditenggelami air," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Dalam pada itu, penduduk, B Vanitha Batumalai, 50, berasa sedih melihat banyak barangan rumahnya yang rosak seperti peti sejuk dan mesin basuh.

Keadaan di dalam rumah Logeswaran selepas banjir mula surut di Taman Saujana Jati, Klang pada Rabu.
Keadaan di dalam rumah Logeswaran selepas banjir mula surut di Taman Saujana Jati, Klang pada Rabu.

"Saya berasa panik melihat banjir berlaku lagi lalu segera menhubungi suami dan anak-anak supaya pulang ke rumah dengan segera," kata suri rumah tersebut.

Sementara itu, Mathurai Sakaly, 72, berkata, kejadian banjir kilat kali ini adalah yang terburuk pernah terjadi sejak dua tahun lalu.

Katanya, bahagian depan rumah yang rendah menyebabkan air banjir memasuki rumahnya dengan pantas sekitar jam 6 petang.

"Keadaan di rumah kelam-kabut kerana air masuk ke dalam rumah dengan sangat pantas, mujur ada isteri dan cucu yang membantu memindahkan barangan ke tingkat atas.

"Dulu banjir pernah terjadi di sini dua tahun lepas, tapi tidak seteruk semalam (Khamis) kerana kali ini motor pam air di loji kumbahan rosak," katanya.

Bagi seorang lagi mangsa banjir, Ashvinee Nair Manogaran, 27, dia dan keluarganya mula mengeluarkan barangan dari dalam rumah pada awal pagi Rabu setelah banjir surut pada jam 5 pagi.

Dia yang tinggal di situ sejak lima tahun berkata, walaupun bahagian belakang rumah telah ditinggikan sebelum ini, tetapi air tetap masuk ke dalam rumah dari longkang yang tersumbat di hadapan rumahnya.

"Banyak barangan yang rosak seperti peti sejuk kabinet pinggan mangkuk, malah meja makan di dapur juga perlu dibuang," katanya.

Dalam perkembangan lain, seorang warga Indonesia, Haisa, 31, berkata, dia bergegas pulang ke rumah sekitar jam 5.30 petang selepas jirannya memaklumkan kawasan perumahan itu mula dinaiki air.

Katanya, walaupun banyak barangan yang ditenggelami air, dia dan abang iparnya sempat menyelamatkan hampir semuanya untuk mengurangkan kerugian yang dialami.

"Tak banyak barang yang rosak kerana kami sempat selamatkan hampir semuanya.

"Lagipun sebab dah pernah banjir sebelum ini, jadi saya kurangkan jumlah barangan untuk diletakkan di tingkat bawah sebagai langkah berjaga-jaga jika ia berlaku lagi," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!