Perkemas corak bertahan segera

Harry Maguire.- Foto EPA
Harry Maguire.- Foto EPA
A
A
A

KAPTEN Manchester United, Harry Maguire menuntut The Red Devils memperbaiki segera corak bertahan selepas kelab Inggeris itu bolos dua gol mudah sebelum berjaya bangkit menjinakkan Atalanta 3-2 dalam perlawanan Liga Juara-Juara di Stadium Old Trafford awal pagi Khamis.

Malah menurut bekas tonggak Leicester City itu, kealpaan yang dipamerkan bahagian pertahanan Red Devils dalam beberapa perlawanan sebelum liga masih berterusan sehingga saingan Eropah perlu diperkemaskan segera.

“Sejujurnya kami kerap memilih jalan yang berliku baik dalam saingan domestik sejak kebelakangan ini dan terkini saingan Eropah yang menjejaskan momentum pasukan.

“Dua gol mudah menerusi sepakan percuma dan situasi bola mati pada babak pertama sewajarnya boleh dielakkan sekiranya setiap pemain fokus memainkan tanggungjawab semasa bertahan serangan lawan.

“Situasi ini sebenarnya tidak cukup baik untuk prestasi kelab dalam mengharungi saingan yang kompetitif musim ini. Malah satu pendekatan perlu diusahakan bagi memantapkan corak bertahan pasukan supaya tidak mudah dibolosi gol mudah selain memenangi perlawanan,” katanya.

Dalam aksi Kumpulan F itu, anak buah Gian Piero Gasperini terlebih dulu berada di depan hasil jaringan Mario Pašalić (15') sebelum Merih Demiral (28') meletakan I Nerazzurri selesa mendahului di separuh masa pertama.

Namun Red Devils kendalian Ole Gunnar Solskjær yang tidak mengalah kembali menyamakan kedudukan menerusi Marcus Rashford (53') diikuti jaringan Maguire (75') untuk kedudukan 2-2.

Ketika kedua-dua kelab seolah-olah bakal membawa pulang satu mata, Ronaldo muncul wira kelab Inggeris tersebut apabila meledak gol kemenangan tuan rumah pada minit ke-81'.

Artikel Berkaitan:

Pada masa sama Maguire memuji karakter tidak mengalah dalam kalangan pemain Red Devils untuk bangkit menyamakan kedudukan seterusnya memenangi perlawanan di laman sendiri itu.

“Sesuatu yang positif dalam perlawanan ini adalah semua pemain-pemain telah mempamerkan semangat penyatuan tinggi yang cukup luar biasa untuk memenangi perlawanan berintensiti tinggi ini,” katanya.

Keputusan itu menyaksikan Manchester United memimpin kumpulan dengan enam mata manakala diekori rapat Atalanta kedua dengan empat mata selepas masing-masing mengharungi tiga perlawanan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!