Kelantan guna dron pantau pembalakan haram

Ahmad (tiga dari kanan) memotong reben sebagai simbolik kepada penyampaian sumbangan alat bantuan pernafasan bagi kegunaan pesakit Covid-19 di Hospital USM pada Khamis.
Ahmad (tiga dari kanan) memotong reben sebagai simbolik kepada penyampaian sumbangan alat bantuan pernafasan bagi kegunaan pesakit Covid-19 di Hospital USM pada Khamis.
A
A
A

KOTA BHARU - Kerajaan Kelantan menggunakan teknologi dron bagi memantau kegiatan pembalakan haram di negeri ini yang perlu dihentikan lebih-lebih lagi pada musim tengkujuh.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob berkata, pemantauan dan penguatkuasaan ketika ini dilakukan oleh pihak berkuasa daripada Jabatan Perhutanan Kelantan.

Beliau berkata, semua aktiviti pembalakan dan mengeluarkan kayu-kayan dari kawasan pedalaman di lokasi yang diluluskan oleh kerajaan sudah dihentikan apabila memasuki bulan Oktober atau menjelang musim tengkujuh.

“Kebiasaannya pada bulan Oktober, kerajaan sudah menghentikan semua pembalakan dan kerja-kerja keluarkan hasil kayu di kawasan yang diluluskan oleh kerajaan.

“Bagi pembalakan haram atau yang tidak berlesen, pihak berkuasa daripada Jabatan Perhutanan Kelantan akan sentiasa membuat pemeriksaan dengan menggunakan dron,” katanya kepada pemberita di Pejabat Menteri Besar di Kompleks Darulnaim pada Khamis.

Beliau sebelum itu menyampaikan sumbangan dua mesin ventilator atau alat bantuan pernafasan bernilai RM129,000 bagi kegunaan pesakit Covid-19 di Hospital Universiti Sains Malaysia (USM).

Hadir sama, Penyelaras Strategi Penjanaan Hospital USM (Unit Pembangunan Korporat), Dr Mohamad Ibariyah Iberahim.

Mengulas lanjut, Ahmad berkata, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Kelantan belum bersidang sepenuhnya namun laporan mesyuarat setakat ini memaklumkan semua sedang membuat persiapan untuk menghadapi musim tengkujuh.

Artikel Berkaitan:

“Kita sentiasa bersedia sekiranya banjir berlaku dengan aset-aset yang sudah direkodkan dan menunggu arahan untuk digunakan jika berlaku banjir,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau mengalu-alukan jabatan lain, pihak swasta dan lain-lain untuk memberi sumbangan alat bantuan pernafasan kepada hospital yang memerlukan.

“Sumbangan daripada Pejabat Menteri Besar kepada HUSM bertujuan membantu pernafasan kepada mereka yang dijangkiti Covid-19 sama ada semasa ‘ditidurkan’ atau sebelum ‘ditidurkan’.

“Lebih banyak mesin ventilator diperlukan untuk membantu pesakit Covid-19 semasa pandemik ketika ini,” jelasnya.