Kala, Suria 'pujuk' gajah liar pindah ke habitat asal
KUALA NERUS - Seekor gajah liar yang tersesat di dalam kawasan kediaman di Kampung Pengkalan Atap, Batu Rakit, di sini dipindahkan ke habitat asalnya pada Khamis.
Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu, Loo Kean Seong berkata, proses pemindahan gajah betina seberat dua tan itu dibantu dua ekor gajah denak dari Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Sungai Deka, Hulu Terengganu iaitu Kala dan Suria.
Katanya, proses pemindahan gajah itu memakan masa selama tujuh jam bermula 8 pagi hingga 3 petang melibatkan 14 kakitangan Perhilitan.
"Dua gajah denak iaitu Kala dan Suria berjaya memujuk gajah liar ini menaiki lori untuk proses pemindahan.
"Disebabkan gajah ini hanya mengalami sedikit kecederaan, ia akan dilepaskan terus ke habitat asalnya," katanya ketika ditemui pemberita pada Khamis.
Selasa lalu, penduduk yang tinggal di Kampung Pengkalan Atap gempar apabila kediaman mereka 'dikunjungi' haiwan berbadan besar itu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Rakit, Bazlan Abd Rahman berkata, gajah betina berusia lingkungan 10 tahun itu disedari memasuki kawasan kampung berkenaan kira-kira jam 6 pagi.
Katanya, sebanyak lima buah kediaman di kampung itu dilaporkan mengalami kerosakan kecil akibat dirempuh gajah yang cuba melalui sekitar kediaman penduduk.
Menurutnya, haiwan terbabit berjaya diberikan ubat pelali kira-kira jam 10 pagi dan diletakkan di bawah pengawasan pihak Perhilitan sebelum dipindahkan ke lokasi lebih selamat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!