Kampung di kaki Gunung Jerai dilanda banjir lagi
YAN - Kebimbangan penduduk di kaki Gunung Jerai di sini berkaitan tragedi banjir lumpur yang mungkin akan berulang menjadi kenyataan apabila mereka kini terpaksa mengharungi detik cemas itu sekali lagi.
Seorang penduduk Kampung Raga, Marshirul Umar, 39, berkata, hujan lebat kira-kira jam 4 petang pada Rabu menyebabkan paras air sungai mulai naik dan melimpah.
Dia berkata, kira-kira jam 6 petang kawasan di sekitar pekan Yan mulai dipenuhi air hampir dua meter bergantung pada kedalaman kawasan.
"Kawasan terjejas turut melibatkan penduduk di beberapa kampung seperti Kampung Seri Perigi, Kampung Raga, Kampung Telok Mat Acheh dan lain- lain lagi," katanya ketika ditemui di sini pada Khamis.
"Nasib baik kerajaan telah mendalamkan sungai ini selepas kejadian kepala air tempoh hari, jika tidak saya rasa situasi banjir di sini lebih buruk daripada sekarang ini kerana air agak laju dan deras," katanya.
Sementara itu, seorang penduduk dari Kampung Telok Mat Acheh, Jamilah Saad, 47 berkata, dia bersyukur kerana belum meletakkan segala perkakas elektrik di tempat asal setelah kejadian pada 18 Ogos lalu.
"Paras air pada kali ini agak tinggi berbanding sebelum ini, air pun laju masuk terus ke dalam rumah melalui pintu hadapan.
"Dalam kejadian banjir sebelum ini, air masuk dari pintu belakang secara sedikit demi sedikit jadi saya sempat menyelamatkan barang- barang kelengkapan rumah," katanya.
Jamilah berkata, perasaan takut masih lagi terasa memandangkan keadaan cuaca yang masih hujan dan kemungkinan banjir akan berlaku lagi.
"Kini kami masih dalam keadaan berjaga-jaga dan berharap situasi ini tidak akan memburuk, letih sebenarnya nak kena cuci rumah banyak kali," ujarnya.
Dalam pada itu, Zaleha Razak, 59, berkata, rumahnya di Kampung Telok Mat Acheh dimasuki air sebanyak dua kali iaitu pada jam 7 petang dan pada jam 3 pagi pada Khamis.
"Rumah saya berada di kawasan rendah, sebab itu air lebih cepat naik apatah lagi jika hujan lebat di kawasan ini. Kalau air sahaja yang memasuki rumah mungkin tak susah hendak bersihkan tetapi air banjir ini turut membawa lumpur masuk ke dalam rumah.
"Mujur anak- anak saudara yang tinggal di daerah berdekatan datang membantu membersihkan rumah, kalau tidak saya pun tidak ada kudrat nak bersihkan seorang diri," jelasnya.
Dalam pada itu, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Yan, Kapten (PA) Norlizawati Ismail berkata, dianggarkan kira-kira 60 buah rumah terjejas dalam kejadian banjir di Mukim Yan pada kali ini.
"Walau bagaimanapun keadaan masih terkawal dan tiada Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!