FPDA tumpu keselamatan siber, peperangan teknologi tinggi
KUALA LUMPUR - Perjanjian Pertahanan Lima Negara (FPDA) mencapai kata sepakat untuk memberi penekanan kepada keselamatan siber dan peperangan berteknologi tinggi menerusi Persidangan Menteri Pertahanan FPDA (FDMM) kali ke-11.
Malaysia dipilih sebagai tuan rumah dalam persidangan secara maya yang berlangsung di sebuah hotel di ibu negara membabitkan Menteri Pertahanan dari Singapura, Dr Ng Eng Hen; Australia, Peter Dutton; New Zealand, Peeni Henare dan United Kingdom, James Heappey.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, langkah itu penting dalam usaha menentang keganasan dan menjamin keselamatan di kawasan perairan Malaysia-Singapura.
“Hari ini Menteri Pertahanan yang terlibat bersetuju agar FPDA memberi penekanan kepada peperangan berteknologi tinggi seiring dengan pengenalan aset ketenteraan generasi kelima.
“Aset tersebut diharap dapat menambah baik misi membanteras keganasan dan meningkatkan keselamatan maritim yang melibatkan ancaman luar jangkaan,” katanya dalam sidang akhbar ulang tahun ke-50 perikatan FPDA di Hotel Shangri La pada Khamis.
Hishamuddin berkata, persidangan tersebut turut memuji kerjasama antara Malaysia-Singapura dalam menjalankan latihan ketenteraan bersama terutama ketika kedua-dua negara sedang berdepan wabak Covid-19.
“Persidangan turut memuji komitmen kedua-dua negara dalam menjalankan latihan ketenteraan antaranya Bersama Shield pada April, Suman Warrior pada Julai dan Bersama Gold pada Oktober.
“Bersama Gold yang baru sahaja tamat baru-baru ini adalah latihan Field Training Exercise (FTX) tanpa sentuhan yang pertama seumpamanya direka khas untuk menandakan ulang tahun ke-50 perikatan FPDA ini,” katanya.
Beliau berkata, Malaysia akan memberi komitmen penuh kepada FPDA dan berharap segala aktiviti serta latihan yang dirancang dapat dijalankan sepenuhnya selepas wabak Covid-19 berjaya dikawal.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!