Majlis Tilawah Al-Quran Johan-Johan Kebangsaan secara maya mulai Jumaat

No Image Caption
A
A
A

PUTRAJAYA - Majlis Tilawah Al-Quran Johan-Johan Kebangsaan (MTQJK) akan diadakan secara maya selama lima hari bermula pada Jumaat.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Ismail (Jakim), Datuk Abdul Aziz Jusoh berkata, program anjuran Jakim itu akan disiarkan secara langsung di TV1 pada 22, 24 dan 25 Oktober, manakala di TV OKEY pada 23 dan 26 Oktober bermula 9 malam hingga 10.30 malam.

Beliau berkata, MTQJK julung kali diadakan sebagai alternatif kepada Majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran Peringkat Kebangsaan (MTHQK) Tahun 1442H/2021M yang ditangguhkan berikutan situasi pandemik Covid-19.

MTQJK berkonsepkan persembahan bacaan al-Quran secara bertaranum oleh para qari dan qariah yang pernah menjadi johan MTHQK pada tahun-tahun lepas dan ia tidak melibatkan sebarang pertandingan.

"MTQJK merupakan kelangsungan kepada usaha menyemarakkan pembudayaan al-Quran dalam kalangan masyarakat di Malaysia," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Seramai 26 qari dan qariah johan tilawah kebangsaan dan jemputan khas yang mewakili semua negeri bakal menyertai acara berkenaan, katanya.

Program dengan kerjasama antaranya RTM itu akan diadakan di Studio Utama Yusoff dan Studio Mini Al-Qasas di Kompleks Islam Putrajaya di sini dan 10 Studio RTM negeri di seluruh negara.

Menurut Abdul Aziz, pembukaan MTQJK esok akan dirasmikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Idris Ahmad dan majlis penutup pada 26 Oktober ini akan disempurnakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Artikel Berkaitan:

“Program MTQJK ini jelas menggambarkan komitmen kerajaan dalam menerapkan budaya minat membaca al-Quran dan memahami inti pati kitab suci itu serta mengaplikasikan tuntutan dan larangan Yang Maha Esa dalam amalan kehidupan kita seharian," katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!