'Semangat adik kuat, dia tak pernah tinggal amalan baca al-Quran'
IPOH - Bekas graduan yang parah dipukul bapanya dengan tukul besi, Isnin lalu selamat menjalani dua pembedahan di kepala, semalam.
Wanita berusia 24 tahun itu kini dilaporkan stabil dan berada dalam keadaan sedar serta boleh berkomunikasi seperti biasa.
Abangnya, Ahmad Hafizi, 30, berkata, perkembangan itu melegakan mereka sekeluarga yang khuatir dengan kesan hentakan dialami.
"Doktor maklumkan kesan yang dialami adalah biasa bagi mana-mana individu yang menerima hentakan di kepala, hanya kecederaan fizikal, lain-lain adalah normal.
"Walaupun nampak keletihan selepas pembedahan, tapi keadaannya baik dan sekarang dia dalam proses untuk sembuh," katanya ketika ditemui di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), hari ini.
Menurutnya, sepanjang tempoh rawatan di hospital berkenaan, semangat adiknya sangat kuat.
"Dia tak pernah tinggal amalan membaca al Quran, malam-malam pun dia mengaji dalam wad ini," katanya yang memaklumkan ibu mereka telah meninggal dunia sejak lapan tahun lalu.
ARTIKEL BERKAITAN Anak parah dipukul bapa guna tukul
Beliau turut menyatakan rasa syukur apabila banyak pihak memberi sokongan moral dan tampil menawarkan peluang kerja kepada adiknya.
Katanya, anak ketiga daripada empat beradik itu baru sahaja tamat pengajian di Universiti Teknologi Mara (UiTM) dalam jurusan perakauan, Januari lalu dan majlis konvokesyannya dijadualkan Oktober nanti.
"Kami sangat menghargai tawaran-tawaran kerja ini, sudah pasti ia menggembirakan adik saya, apa-apa pun kita lihat dulu perkembangan kesihatannya, tunggu betul-betul sembuh baru saya lepaskan dia untuk bekerja," katanya.
Dalam kejadian antara jam 5.30 petang hingga 6.30 petang itu, mangsa parah selepas dipukul di beberapa bahagian di kepala menggunakan tukul pemecah dinding.
Kejadian berlaku di sebuah rumah di Parit Sungai Melan, Kuala Kurau ketika mangsa sedang membaca al-Quran sementara bapanya yang bekerja sebagai tukang rumah baru pulang dari tempat kerja.
Lelaki berusia 58 tahun itu bagaimanapun telah ditahan polis bagi membantu siasatan dibawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!