PN tak boleh tunggu lama 'rakan sebelah sana' buat keputusan

Muhyiddin menyampaikan ucapan pada majlis Makan Tengah Hari PN pada Khamis. - Foto Bernama
Muhyiddin menyampaikan ucapan pada majlis Makan Tengah Hari PN pada Khamis. - Foto Bernama
A
A
A

MELAKA - Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pihaknya tidak boleh menunggu terlalu lama ‘rakan di sebelah sana’ untuk membuat keputusan sama ada sedia bekerjasama atau tidak semata-mata bagi mengelak pertembungan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

"Dalam soal urusan siasah sebegini, kita mesti mengatur strategi dan langkah yang tepat. Kita tak boleh menunggu pihak di sana kata kami sudah bersedia.

"Dalam menguruskan negara, mentadbir negeri, pengurusan parti dan sebagainya, saya membuat keputusan berdasarkan keadaan dan situasi, dan mengatur strategi. Strategi yang kita atur mestilah strategi yang tepat dan betul untuk membawa kemenangan besar kepada parti kita," katanya ketika berucap pada Majlis Makan Tengah Hari PN Melaka pada Khamis.

Beliau berkata, PRN Melaka ialah masa terbaik bagi rakyat negeri itu menguji dan melihat keupayaan serta ketokohan kepimpinan PN untuk membantu mereka mentadbir Melaka.

Muhyiddin sebelum ini dilaporkan berkata, PN bersedia menghadapi persaingan tiga penjuru pada PRN Melaka seandainya tidak ada keputusan yang jelas dan tegas dari UMNO.

Beliau turut dipetik sebagai berkata, ini memandangkan tempoh masa menjelang PRN Melaka semakin singkat namun sehingga kini tiada sebarang keputusan bentuk kerjasama diumumkan Barisan Nasional (BN).

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh mengundi PRN Melaka pada 20 November manakala penamaan calon pada 8 November dan undi awal 16 November. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!