Annil pemain versatil: Maloney
KETUA Jurulatih Skuad Bawah 22 Tahun (B-22) negara, Brad Maloney mempertahankan keputusannya memilih pemain berpangkalan di Jerman, Annil R Vigneswaran untuk beraksi di pusingan Kelayakan Piala Asia Bawah 23 Tahun (B-23) 2022 di Ulaanbaatar, Mongolia bermula Ahad ini.
Maloney menyifatkan pemain pertahanan yang beraksi bersama SGV Freiberg itu sebagai pemain versatil kerana boleh bermain di beberapa posisi selain bakal menjadi aset kepada pasukan pada pusingan kelayakan itu.
"Berhubung isu Annil ini, kami barisan kejurulatihan sebenarnya telah lama memantau perkembangan dan prestasinya. Bukan kita tidak tengok langsung dan terus tiba-tiba meletakkan nama dia dalam senarai 23 pemain ke Mongolia ini.
"Penolong jurulatih, Khan Hung Meng pernah melatih pemain ini sebelum dia ke Jerman beberapa tahun lepas dan dia dilihat sebagai seorang pemain yang berbakat besar dan sejak itu, prestasinya sudah pun mula dipantau,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada Khamis.
Mengulas lanjut, Maloney berkata, Annil sememangnya telah pulang ke Malaysia pada Disember lepas untuk menyertai kem latihan pusat skuad B-19 kebangsaan tetapi malangnya kem latihan pusat pada masa itu tidak dapat dijalankan kerana Pusingan Akhir Kejuaraan B-19 AFC 2021 dibatalkan.
Bagaimanapun, pihaknya sentiasa memantau perkembangan prestasi Annil di Jerman dan memaklumkan video serta maklum balas yang diterima mengenai pemain berusia 18 tahun itu adalah sangat positif sepanjang beliau di sana.
Baru-baru ini, terdapat pihak termasuk netizen dikatakan tidak berpuas hati mengenai pemilihan Annil ke dalam skuad kebangsaan untuk menghadapi saingan di Mongolia.
Pada kempen kelayakan itu, Malaysia diundi dalam Kumpulan J bersama Laos, Mongolia selaku tuan rumah dan Thailand, dengan kesemua aksi akan berlangsung di Stadium Persekutuan Bola Sepak Mongolia (MFF) di Ulaanbaatar.
Malaysia akan bertemu Laos pada 25 Oktober, Mongolia (28 Oktober) dan Thailand (31 Oktober) dalam usaha memburu slot ke pusingan akhir Piala Asia B-23 2022 di Uzbekistan pada Jun.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!