Piala Malaysia: Hijau Kuning tekad kembali lebih garang

Antara aksi menarik pertemuan Perak menentang Kedah Darul Aman di Stadium Perak.
Antara aksi menarik pertemuan Perak menentang Kedah Darul Aman di Stadium Perak.
A
A
A

PENGENDALI Kedah Darul Aman FC (KDAFC), Aidil Sharin Sahak berazam memastikan skuad Hijau Kuning itu kembali memberi saingan dalam baki saingan Piala Malaysia yang bakal bersambung 29 Oktober ini.

Malah Aidil Sharin yakin skuad kendaliannya itu akan mampu merealisasikan aksi terbaik tersebut selepas kehadiran semula beberapa pemain utama skuad berkenaan yang menggalas tanggungjawab bersama skuad kebangsaan sebelum ini.

Katanya, kehadiran semula pemain-pemain utama seperti Baddrol Bakhtiar, Fayadh Zulkifli dan Ariff Farhan berjaya membantu pasukan terutamanya pada aksi persahabatan berdepan Perak FC di Stadium Perak, Ipoh pada Rabu.

“Bagi saya, banyak perkara positif yang terhasil pada perlawanan persahabatan ini. Seperti yang kita semua tahun, Baddrol (Bakhtiar), baru sahaja kembali daripada tugasan bersama skuad kebangsaan, (Ariff) Farhan, Fayyad (Zulkifli) pun sudah kembali berlatih, kecuali Jai (Rizal Ghazali) yang demam.

“Kami juga masih kehilangan khidmat (Kpah) Sherman dan Rabih Ataya. Bagaimanapun, tanpa kehadiran mereka pun, pemain-pemain yang diturunkan tetap berjaya memberikan aksi yang baik pada aksi persahabatan berkenaan.

“Lagipun, pemain yang saya turunkan kali ini adalah berbeza dengan pemain yang diturunkan ketika berdepan skuad Bawah-22 (B22) negara baru-baru ini di mana saya menurunkan kebanyakan pemain daripada skuad Piala Presiden bagi mengelakkan risiko kecederaan pemain,” katanya kepada Sukan Sinar pada Khamis.

Pada aksi itu penyerang import KDAFC, Tchetche Kipre terlebih dulu meletakkan pelawat di depan seawal minit kedua sebelum penyerang muda Perak, Muhamad Syahir Bashah memastikan tuan rumah kembali mendahului dengan dua gol pada minit ke-16' dan 20' sebelum Baddrol Bakhtiar mengikat kedudukan minit ke-90.

Untuk rekod pada saingan Piala Malaysia, KDAFC berada pada kedudukan kedua Kumpulan C dengan tiga mata selepas mengharungi dua perlawanan.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!