Perak FC kekal status elit?

Stuart Ramalingan
Stuart Ramalingan
A
A
A

PERAK FC berkemungkinan kekal beraksi dalam saingan Liga Super 2022 sekiranya Sarawak United gagal menjelaskan isu tunggakan gaji membabitkan beberapa pemain utama.

Bagaimanapun Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), Stuart Ramalingan berkata, perkara itu hanya boleh diputuskan oleh Ahli Lembaga Pengarah MFL.

“Kalau didapati Sarawak United ada memiliki tunggakan gaji, ada tiga tindakan yang boleh dikenakan terhadap kelab itu.

“Antaranya, larangan perpindahan pemain, diturunkan dari Liga Super ke Liga Premier dan lesen untuk beraksi di Liga Super dibatalkan,” katanya pada Khamis.

Stuart berkata demikian ketika sidang media Pelesenan Kelab MFL dan First Instance Body (FIB) di Dewan Auditorium Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Kelana Jaya, Petaling Jaya.

Untuk rekod, Sarawak United bakal beraksi di Liga Super musim depan selepas menamatkan saingan Liga Premier di tangga kedua di belakang Negeri Sembilan FC musim ini.

Bagaimanapun, skuad kendalian E Elavarasan itu berdepan penggantungan lesen selepas kelab itu dipalit isu tunggakan gaji membabitkan beberapa pemain sejak Ogos lalu.

Berdasarkan peraturan pertandingan Liga-Malaysia (Liga-M), FIB Pelesenan Kelab bakal meneliti status kewangan semua pasukan musim ini sebelum badan itu mengeluarkan lesen kebangsaan kepada mana-mana pasukan untuk bersaing pada musim depan.

Artikel Berkaitan:

Antara perkara yang akan diteliti FIB ialah tunggakan gaji serta tunggakan hutang dengan agensi kerajaan sama ada membabitkan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) atau Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Sementara itu, Stuart meminta dalam kalangan pemain Liga Malaysia yang terpalit dengan isu gaji untuk tampil memaklumkan perkara itu supaya ianya dapat ditangani secara menyeluruh.

“Mereka ini ialah pemain profesional dan ada hak. Kami di MFL selain Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM), sedia membantu.

“Tetapi paling penting adalah tindakan pertama pemain itu sendiri. Bagaimanapun, perundangan melibatkan dua belah pihak dan proses siasatan bukan bermakna pemain betul atau pasukan salah. Kita akan siasat,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!