Taman Negara Kuala Tahan kembali dikunjungi pelancong
JERANTUT - Penggiat pelancongan di Taman Negara, Kuala Tahan di sini melahirkan perasaan gembira kerana mereka kini kembali mencari rezeki bermula 12 Oktober lalu selepas lokasi terkenal itu ditutup beberapa bulan akibat pandemik Covid-19.
Sejak kembali beroperasi pada 12 Oktober lalu, kehadiran pelancong semakin meningkat khususnya dari luar Pahang pada hujung minggu selepas kerajaan membenarkan pergerakan rentas negeri bermula 11 Oktober lalu.
Timbalan Pengerusi Persatuan Pengusaha Pelancongan Taman Negara, Leftenan Komander (Bersara), Mohd Abdul Rani Harun berkata, situasi positif itu memberikan kelegaan buat penggiat pelancongan termasuk dirinya.
"Jumlah pengunjung yang datang amat menggalakkan sekali gus membantu pengusaha yang terjejas teruk sebelum ini.
"Saya sendiri pun lega kerana bilik penginapan di Tebing Guest House dan rumah inap desa milik saya mendapat permintaan baik daripada pelanggan," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Mengulas lanjut, Mohd Abdul Rani berkata, pengunjung yang datang ke Taman Negara juga diminta untuk terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan selain penggiat pelancongan.
"Bagaimanapun saya berharap beberapa masalah seperti kutipan sampah di sini dapat diatasi segera demi keselesaan pengunjung," ujarnya.
Dalam pada itu, pemilik Greenland Guesthouse, Afzal Abdul Aziz mengakui walaupun masih belum dapat beroperasi, namun dia lega kerana Taman Negara kini sudah mula dikunjungi pelancong.
"Buat masa ini kami masih dalam proses menyelenggara bilik penginapan dan dijangkakan kembali beroperasi minggu depan.
"Kita telah pun menerima tempahan pelanggan dan berharap situasi positif ini akan berterusan," jelasnya.
Bagi Pengerusi Persatuan Pemandu Pelancong Alam Semulajadi Taman Negara, Mohamad Anas Zainudin, dia turut teruja dengan perkembangan positif itu dan berharap lebih ramai pelancong akan datang ke Taman Negara.
"Pada hujung minggu baru-baru ini, lebih 50 peratus pemandu pelancong mendapat tempahan pelanggan.
"Kita jangkakan jumlah ini akan terus meningkat dari masa ke masa sebelum tibanya monsun nanti," jelasnya terdapat 117 ahli persatuan tersebut di Kuala Tahan.
Sementara itu, Pengerusi Bird Group Taman Negara, Roslan Abu Kasim menegaskan pematuhan SOP perlu dipatuhi dengan sebaik mungkin bagi mengelakkan jangkitan Covid-19 sekali gus akan menyebabkan lokasi itu kembali ditutup kepada pengunjung.
"Jadi dalam hal membabitkan pematuhan SOP ini, kita tidak akan berkompromi selain memastikan kemudahan dan tarikan di Taman Negara diselenggara dengan baik," ujarnya..
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Kemakmuran Kampung (JKKK) Abdul Jalil Abdul Rahman memberitahu, situasi itu turut memberikan sinar baharu buat penduduk yang terlibat dalam sektor pelancongan.
"Ini adalah peluang buat penduduk mencari pendapatan tambahan sebelum tibanya musim monsun dan Taman Negara kembali ditutup kepada pengunjung," tambahnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!