Isu Pulau Batu Puteh: Dr Mahathir tidak jawab persoalan sebenar
JOHOR BAHRU - Tun Dr Mahathir Mohamad tidak menjawab persoalan sebenar punca kerajaan Pakatan Harapan (PH) pimpinan beliau pada 2018 tidak meneruskan permohonan semakan ke atas penghakiman kes Pulau Batu Puteh di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, persoalan sebenar ialah apa sebab sebenarnya kerajaan PH pada masa itu tidak meneruskan semakan terhadap penghakiman Pulau Batu Puteh sedangkan bukti baharu sudah ditemukan.
"Benar keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) tidak boleh dirayu tetapi dengan timbulnya bukti terbaharu, satu permohonan untuk semakan telah dikemukakan oleh Malaysia pada Februari 2017.
"Pada 30 Jun 2017, Malaysia juga mengemukakan permohonan untuk ICJ mentafsirkan penghakimannya pada 2008 tentang Pulau Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan. ICJ bersetuju untuk mendengar penghujahan Malaysia dengan memberikan tarikh untuk pendengaran semakan tersebut.
"Apa Tun Dr Mahathir lupa bahawa dua daripada bukti baharu yang ditemui itu adalah dokumen yang hanya boleh diakses setelah 2008. Secara undang-undang, dokumen tersebut hanya boleh diakses setelah tamat tempoh kerahsiaannya," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan jemaah menteri bersetuju menubuhkan pasukan petugas khas membuat kajian menyeluruh, meneliti dan mencadangkan pilihan bersesuaian dengan turut mendapatkan pandangan pakar undang-undang antarabangsa berkenaan semakan semula pulau itu.
Pada 14 Oktober, Sultan Ibrahim terkilan dengan tindakan yang seolah-olah mengalah sebelum masuk gelanggang kerana tidak meneruskan permohonan semakan ke atas penghakiman kes Pulau Batu Puteh sedangkan telah menemukan bukti baharu yang berpihak kepada Malaysia.
Pada 20 Oktober, Dr Mahathir menerusi catatan dalam laman web beliau berkata, percubaan secara rundingan untuk Malaysia memiliki semula Pulau Batu Puteh bertahun-tahun tidak berjaya, malah Singapura masih mendakwa pulau itu miliknya.
Bekas Perdana Menteri itu berkata, dalam hal itu, kedua-dua negara bersetuju untuk merujuk isu tuntutan pulau berkenaan kepada ICJ dengan kedua-dua pihak perlu berjanji secara bertulis akan menerima apa sahaja keputusan yang dibuat termasuk tidak ada rayuan terhadap keputusan ICJ yang muktamad.
Kata beliau, rujukan kepada ICJ hanya akan diterima oleh ICJ jika perjanjian menerima tanpa soal dan keputusannya dihormati, maka negara yang bermaruah mesti menghormati janji kecuali negara yang tidak bermaruah yang akan mungkir janji.
Mengulas lanjut, Khaled berkata, dokumen pertama menunjukkan bahawa pegawai tertinggi Singapura tidak pernah menganggap Pulau Batu Puteh sebahagian daripada Singapura.
Sementara dokumen kedua pula katanya, menunjukkan bahawa Tentera Laut British memperakui bahawa perairan di kawasan ketiga-tiga pulau tersebut adalah perairan dan wilayah Johor.
"Dokumen terakhir menunjukkan bahawa peta operasi tentera laut British menunjukkan sempadan wilayah Singapura tidak termasuk Pulau Batu Puteh. Semua dokumen tersebut dengan jelas menunjukkan bahawa Pulau Batu Puteh tidak berada dalam wilayah republik itu.
"Sudah sewajarnya penemuan bukti material ini memerlukan ICJ memutuskan nilainya terhadap tuntutan Malaysia. Jadi kenapa di sebalik semua bukti baharu ini, kerajaan memutuskan untuk tidak meneruskannya proses semakan tersebut," soalnya.
Katanya, jika Dr Mahathir telah dinasihati sekumpulan pakar undang-undang antarabangsa, siapakah mereka dan apakah nasihat yang mereka kemukakan dalam konteks bukti baharu yang ditemui?
"Apa yang jelas, kerajaan PH telah cuai dalam tindakannya mempertahankan kedaulatan wilayah Malaysia dan wajar dipertanggungjawabkan ke atas tindakan culas tersebut," tegasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!