Terbuka Denmark 2021: Zii Jia mara, Aaron- Wooi Yik tersingkir

Lee Zii Jia. - Foto fail Bernama
Lee Zii Jia. - Foto fail Bernama
A
A
A

PEMAIN perseorangan utama negara, Lee Zii Jia berjaya melangkah ke suku akhir Terbuka Denmark 2021 setelah menewaskan rakan senegara Liew Daren pada pusingan kedua kejohanan pada Khamis.

Pemain kelahiran Kedah berusia 22 tahun itu menundukkan pemain nombor 37 dunia, Daren menerusi kemenangan straight set 21-11, 21-14 untuk mengulangi aksi final All England 2021 menentang pemain nombor dua dunia, Victor Axelsen dari Denmark.

Zii Jia menang 30-29, 20-22, 21-9 ke atas Axelsen untuk merangkul gelaran juara kejohanan badminton tertua dunia itu di Birmingham Mac lepas.

Axelsen sebelum itu berjaya menyingkirkan Lakhsya Sen dari India 21-15, 21-7 untuk mara ke suku akhir.

Bagaimanapun, nasib tidak menyebelahi pemenang pingat gangsa Olimpik Tokyo, Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang terkandas selepas tewas 21-19, 21-13 kepada pasangan Jepun Akira Koga-Taichi Saito.

Harapan Malaysia pada beregu lelaki kini terletak pada bahu Ong Yew Sin-Teo Ee Yi dan Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani apabila kedua-dua gandingan itu bakal beraksi di suku akhir.

Pasangan bukan pilihan, Yew Sin-Ee Yi menewaskan Alexander Hall-Adam Hall dari Scotland 21-17, 21-11 untuk menempah slot bertemu gandingan dari Jerman Mark Lamfuss-Marvin Seidel yang sebelum itu mengalahkan Lee Jhe-Huei-Yang Po-Hsuan dari Chinese Taipei, 21-18, 21-13 pada pusingan kedua.

Sze Fei-Nur Izzuddin mempamerkan aksi mengagumkan apabila mengecewakan pasangan pilihan ketujuh dari India Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty setelah gandingan muda negara itu mencatat kemenangan mengejutkan 14-21, 21-15, 21-15.

Artikel Berkaitan:

Tugas berat pula menanti Sze Fei-Nur Izzuddin kerana bakal bertemu pilihan keempat Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto setelah pasangan Indonesia itu menyingkirkan gandingan India, M R Arjun-Dhruv Kapila 21-15, 17-21, 21-12.

Dalam kategori beregu campuran, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing meneruskan momentum baik ketika menundukkan pasangan Korea Selatan, Ko Sung Hyun-Eom Hye Won 18-21, 21-18, 21-13.

Kian Meng-Pei Jing akan menentang Yuta Watanabe-Arisa Higashino dari Jepun selepas pasangan pilihan keempat itu menewaskan Rinov Rivaldy-Pitha Haningthyas Mentari dari Indonesia, 21-13, 22-20.

Perjalanan beregu profesional negara Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie di Denmark berakhir selepas tersingkir daripada pertandingan oleh pasangan pilihan ketiga Praveen Jordan-Melati Daeva Oktavianti dari Indonesia, 21-14, 21-12. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!