Nuno enggan salahkan pemain
PENGENDALI Tottenham Hotspur, Nuno Espirito Santo menjelaskan fokusnya untuk memberikan peluang kepada beberapa pemain muda beraksi ketika tewas 0-1 kepada Vitesse dalam aksi Liga Conference Europa pada awal pagi Jumaat.
Menurutnya, dia telah merehatkan beberapa pemain utama seperti Son Heung-min dan Harry Kane namun menegaskan pemain yang telah diturunkannya memberikan aksi terbaik dalam perlawanan itu.
"Ia satu perlawanan yang sukar. Saya rasa kami memberikan tentangan yang bagus. Daripada segi serangan, saya rasa kami perlu menyudahkannya dengan lebih baik. Namun, saya akui beberapa kombinasi kurang menjadi dalam perlawanan ini.
"Saya tahu ia akan menjadi sukar buat kami. Saya tidak berada di sini untuk menghukum pemain saya sebaliknya saya mahu menambah baik pemain muda dan memastikan mereka mendapat peluang bermain.
"Contohnya penyerang yang saya turunkan iaitu Dane Scarlett berusia 17 tahun. Ia sukar untuknya namun ramai pemain kami yang berusia bawah 17 tahun tidak dapat peluang bermain dengan pasukan utama. Saya yakin dia mendapat pengalaman berguna," katanya.
Gol tunggal jaringan Maximilian Wittek pada separuh masa kedua sudah cukup untuk memastikan kemenangan Vitesse sekali gus menyaksikan Spurs terus hambar dengan hanya dua kemenangan daripada lapan perlawanan terakhir di tempat lawan dalam saingan di Eropah.
Dalam pada itu, Nuno kekal tenang dan menegaskan pasukannya boleh bangkit dalam tiga perlawanan terakhir kejohanan itu untuk mengesahkan tempat ke pusingan seterusnya.
"Kami masih ada dua perlawanan di laman sendiri menentang Vitesse dan Rennes kemudian kami akan berdepan Mura. Kami boleh mengatasi masalah ini dalam peringkat kumpulan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!