Keluarga Nik Akif Syahiran terima manfaat Perkeso
KUALA KRAI – Keluarga Allahyarham Nik Mat Yusof, bapa kepada pemain skuad bawah 22 tahun (B-22) negara, Nik Akif Syahiran Nik Mat layak menerima manfaat Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).
Pengurus Pejabat Perkeso Kuala Krai, Mohd Azran Che Nuri berkata, berdasarkan perincian yang dilakukan pihaknya, Nik Mat berkhidmat sebagai kerani di Ladang Kuala Pertang bermula tahun 2008 sehingga beliau menghembuskan nafas terakhir.
Katanya, semakan kelayakan caruman oleh Skuad Perkeso Prihatin Kuala Krai mendapati Allahyarham mempunyai kelayakan penuh di bawah Skim Keilatan.
“Kami segera menghubungi waris arwah dan memberikan Faedah Pengurusan Mayat (FPM) yang dibayar terus ke akaun balu arwah sebanyak RM2,000,” katanya kepada Sinar Harian di sini pada Jumaat.
Mohd Azran sebelum itu hadir menyampaikan bantuan caruman Allahyarham Nik Mat di Kuala Krai yang turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mengkebang, Muhammad Mat Sulaiman.
Menurutnya, selain bayaran FPM, balu Allahyarham juga layak dibayar Faedah Pencen Penakat sepanjang hayat sebagaimana yang termaktub di dalam dasar yang telah disediakan.
Katanya, dua orang anak Allahyarham juga akan dibayar perkongsian pencen penakat sehingga berumur 21 tahun atau sehingga mendapat ijazah pertama sekiranya melanjutkan pelajaran.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan, arwah dipercayai menyertai konvoi bersama rakan-rakan untuk ke Dabong namun mengalami kemalangan di Jalan Sungai Sam – Dabong pada jam 10.40 pagi dan meninggal dunia di tempat kejadian.
Sementara itu, Penyelaras Skuad Perkeso Prihatin, Mohd Fazery Zakaria memberitahu, kelayakan tersebut adalah berdasarkan caruman dibuat Allahyarham sepanjang dia bekerja.
Katanya, itulah salah satu manfaat yang boleh diterima keluarga jika berlaku kejadian yang tidak diingini melibatkan pencarum, sekali gus membantu menguruskan keluarga Allahyarham, terutamanya mereka yang mempunyai anak-anak yang masih kecil.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!