Kru stesen TV maut kemalangan ketika berbasikal
CYBERJAYA - Seorang petugas di stesen televisyen dilaporkan meninggal dunia selepas terlibat dalam nahas pelanggaran dengan sebuah kereta dekat sini, pagi tadi.
Insiden yang menimpa mangsa yang dikenali sebagai Jeffry Aziz, 57, dikongsi di laman sosial termasuk di Facebook Cyberjaya Community.
Allahyarham Jeffry yang juga pekerja Astro Production Sdn Bhd (APSB) meninggal dunia selepas terbabit kemalangan dipercayai pada jam 9 pagi ketika mangsa menunggang basikal bersendirian di Cyberjaya.
Allahyarham pernah bertugas di bahagian Animated Production Technic (APT) sebagai juruaudio.
Jenazah Jeffry kini berada di Unit Forensik Hospital Serdang untuk proses bedah siasat dan tindakan lanjut.
Allahyarham meninggalkan seorang isteri dan dua orang anak.
Berdasarkan gambar di lokasi nahas yang dikongsi orang ramai, kelihatan basikal yang digunakan oleh mangsa mengalami kerosakan teruk pada bahagian tayar belakang.
Setakat ini, punca kemalangan dan kematian mangsa masih belum dikenal pasti. - Awani
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!