Kampus Satelit Kolej Komuniti@Parit Sulong sedia latihan kemahiran
BATU PAHAT - Kampus Satelit Kolej Komuniti@Parit Sulong yang diwujudkan di Taman Industri D’Cabin Medan Niaga Seri Sulong, Parit Sulong, dekat sini, menyediakan latihan semula kemahiran dan meningkatkan kemahiran secara berterusan di kawasan berkenaan.
Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, kampus satelit itu merupakan antara inisiatif Jabatan Pendidikan Politeknik Dan Kolej Komuniti (JPPKK) di bawah kementeriannya.
Beliau berkata, inisiatif berkenaan juga mendukung Prinsip Panduan 6: Masyarakat Peri Belajar yang merupakan salah satu panduan teras strategik Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB2030)
“Ia bertujuan memupuk budaya keilmuan dalam kalangan masyarakat demi memastikan Malaysia terus membangun secara mampan seiring dengan pengagihan ekonomi yang adil, saksama dan inklusif di semua peringkat masyarakat.
“Di samping itu, ia turut mendukung aspirasi Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH) yang termaktub dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015 - 2025 (Pendidikan Tinggi) melalui Lonjakan 3: Menghayati Pembelajaran Sepanjang Hayat,” kata beliau dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Noraini, yang juga Ahli Parlimen Parit Sulong berkata, kampus satelit berkenaan menawarkan pelbagai kursus pendek dalam bidang perniagaan dan keusahawanan; jahitan dan pakaian; komputer dan teknologi maklumat serta katering dan sajian.
Sasaran peserta kursus pendek itu adalah komuniti setempat dari kumpulan isi rumah B40, orang kurang upaya (OKU), ibu tunggal, warga emas dan golongan belia.
“Selain itu, Kampus Satelit Kolej Komuniti@Parit Sulong bertindak sebagai platform rasmi untuk menghebah dan menyebar luas maklumat mengenai program pengajian sepenuh masa, PSH dan ilmu keusahawanan yang dikendalikan oleh kolej komuniti kepada masyarakat di Parit Sulong,” kata beliau. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!