Beruang betina sesat berkeliaran kawasan hospital
TEMERLOH - Beruang betina seberat 60 kilogram berjaya ditangkap pada Khamis selepas kelibat haiwan liar itu menggemparkan orang ramai di beberapa lokasi sekitar Temerloh sejak Rabu.
Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Pahang, Rozidan Md Yasin berkata, pihaknya berjaya menangkap beruang berkenaan kira-kira jam 12.30 tengah hari pada Khamis.
Menurutnya, operasi menangkap haiwan terbabit dilakukan oleh kakitangan Perhilitan dan mendapat kerjasama daripada penduduk kampung.
“Beruang betina berusia antara dua hingga tiga tahun itu dibawa ke Pusat Konservasi Hidupan Liar Jenderak Selatan di sini bagi rawatan dan pemantauan.
"Berdasarkan pemantauan dan pemeriksaan mendapati haiwan itu dalam keadaan sihat dan tidak mengalami kecederaan," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Dipercayai haiwan berkenaan tersesat di sekitar Paya Pulai termasuk di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) Temerloh.
Terdapat dua klip video berdurasi 15 saat setiap satu dirakam orang awam memaparkan haiwan liar itu berkeliaran di sekitar kawasan tersebut termasuk di kawasan hospital dan berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seberang Temerloh.
Namun haiwan liar itu dilihat cuba melarikan diri daripada orang ramai dan tidak menyerang atau mencederakan sesiapa.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!