Imbangan pembayaran Malaysia diunjur bertambah baik tahun ini

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

KEDUDUKAN keseluruhan imbangan pembayaran (BOP) Malaysia diunjur bertambah baik, mencatat lebihan sekali lagi dengan jangkaan bahawa pemulihan yang kukuh akan berlaku dalam ekonomi global tahun ini dan menyumbang kepada pengumpulan rizab antarabangsa.

Menurut Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER), baki akaun semasa bersih (NCAB) BOP juga bertambah baik, merekodkan lebihan RM26.7 bilion pada separuh pertama 2021.

"Lebihan ini adalah kira-kira 3.6 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), lebih tinggi daripada 2.5 peratus dicatatkan pada tempoh yang sama tahun lalu," katanya dalam laporan Malaysian Economic Outlook suku ketiga 2021 yang dikeluarkan pada Jumaat.

Institut penyelidikan itu berkata, akaun semasa BOP dijangka bertambah baik pada dua suku yang akan datang tahun ini, meneruskan lebihan yang dicatat pada tahun-tahun sebelumnya.

"Sementara itu, baki akaun kewangan yang merosot sebanyak dua kali turut diunjur akan bertambah baik, mencatat defisit yang lebih kecil disebabkan oleh jangkaan aliran masuk bersih menerusi pelaburan langsung asing dan pelaburan portfolio asing lebih tinggi," katanya.

Ia petanda positif bagi ekonomi Malaysia untuk bahagian luaran, membantu meningkatkan sentimen pelabur, di dalam dan di luar negara, kata MIER.

Di peringkat domestik, ia berkata, kerajaan persekutuan berusaha keras untuk memastikan lebihan akaun semasa berterusan daripada kedudukan kewangannya.

"Imbangan semasa mungkin berubah menjadi defisit, ia merupakan perkara yang sangat jarang berlaku, mengambil kira bahawa imbangan akaun semasa perlu mencatatkan lebihan bermaksud pengumpulan hasil harus sentiasa menampung perbelanjaan operasi sebagai prinsip untuk pengurusan kewangan awam berhemah," katanya.

Artikel Berkaitan:

Untuk melihat perbelanjaan operasi lebih tinggi terutama untuk emolumen dan caj perkhidmatan hutang dan pengumpulan hasil yang sederhana akan menyaksikan pinjaman bersih terus meningkat untuk menyokong perbelanjaan pembangunan bersih lebih tinggi seperti yang diperuntukkan dalam Bajet 2021 dan Bajet 2022 yang akan datang.

"Dengan mempertimbangkan perbelanjaan untuk Tabung Covid-19 yang tinggi untuk memastikan keselamatan kesihatan awam diberi keutamaan dalam persekitaran mencabar sekarang, defisit keseluruhan kewangan kerajaan persekutuan dijangka akan terus meningkat, menghampiri enam peratus daripada KDNK nominal tahun ini,” katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!