SelVAX Remaja bermula Ahad ini
SHAH ALAM - Kerajaan Selangor akan memulakan Program Vaksin Selangor (SelVAX) Remaja bagi individu berumur 12 tahun ke atas di Dewan Serbaguna Majlis Perbandaran Klang (MPK) Pandamaran Jaya, Klang pada Ahad.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, program tersebut merupakan inisiatif kerajaan negeri untuk mempercepatkan vaksinasi remaja dan membantu melancarkan proses pembukaan institusi pendidikan di negeri berkenaan.
Menurutnya, seramai 3,416 nama pelajar diterima untuk program tersebut melibatkan institusi pendidikan iaitu 1,235 pelajar dari Maahad Integrasi Tahfiz Selangor (MITS); 1,181 pelajar dari Sekolah Rendah Agama Islam Integrasi (SRAI); dan 1,000 pelajar dari 50 buah Maahad Tahfiz di Selangor.
“Program SelVAX Remaja akan dilaksanakan di beberapa lokasi Pusat Pemberian Vaksin (PPV), antaranya di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelabuhan Klang, DUN Tanjung Sepat, DUN Bukit Lanjan, DUN Pandamaran dan lain-lain yang beroperasi dari jam 9 pagi sehingga 5 petang,” katanya menerusi satu kenyataan pada Jumaat.
Dalam pada itu, Amirudin berkata, program ini akan menggunakan kaedah prapendaftaran melalui kod baucer di aplikasi SELangkah seperti yang pernah dilaksanakan sebelum ini.
Ujarnya, pihak sekolah akan diberi kod baucer khusus yang membolehkan para pelajar melakukan pendaftaran kendiri di aplikasi SELangkah bagi melancarkan proses pemberian vaksinasi.
Amirudin menambah, pihak Selcare akan membantu proses pendaftaran pelajar yang tidak mempunyai telefon pintar atau tidak mempunyai akses kepada aplikasi SELangkah.
“Pihak sekolah juga akan dibekalkan dengan borang persetujuan vaksinasi yang akan diisi oleh ibu bapa bagi para pelajar yang terlibat sebelum suntikan diberikan.
“Selain pelajar sekolah, program ini turut dibuka bagi pendaftaran kepada remaja yang tidak bersekolah, warganegara dan bukan warganegara yang masih belum menerima janji temu vaksinasi dos pertama dan penerima vaksin SelVAX yang terlepas janji temu dos kedua.
“Bagi memastikan tiada warga Selangor yang tercicir daripada program vaksinasi, Program SelVAX Komuniti akan diteruskan di klinik-klinik Selcare bermula 28 Oktober 2021 dan klinik panel di seluruh Selangor bermula 1 November 2021,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!