Hanya empat PPV awam di Melaka masih beroperasi

Rahmad (dua, kiri) menyampaikan sumbangan makanan kepada salah seorang mangsa banjir ketika mengadakan lawatan di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Ayer Molek pada Jumaat. - Foto Bernama
Rahmad (dua, kiri) menyampaikan sumbangan makanan kepada salah seorang mangsa banjir ketika mengadakan lawatan di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Ayer Molek pada Jumaat. - Foto Bernama
A
A
A

MELAKA - Hanya empat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) awam masih beroperasi di negeri ini selepas kadar vaksinasi populasi dewasa di Melaka mencapai 92.4 peratus sehingga Khamis, kata Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Antidadah negeri, Datuk Rahmad Mariman.

Beliau berkata, empat PPV tersebut ialah PPV Encore, Klebang yang beroperasi hingga 2 November, manakala PPV Dewan Ahmad Ithnin, PPV Dewan Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) Seri Umbai dan PPV Dewan Alamanda berakhir pada 27 Oktober depan.

"Kebanyakan PPV telah ditutup secara berperingkat selepas proses vaksinasi populasi penduduk dewasa yang mendaftar mencapai 90 peratus bagi dos satu dan dua.

"Bagi individu yang masih belum melengkapkan dos, mereka akan menerima vaksin di PPV sedia ada selain digunakan untuk pelajar-pelajar iaitu remaja berumur 12 hingga 17 tahun yang turut dijalankan di sekolah menerusi Program Mobilisasi Vaksin Komuniti (MOVAK)," katanya kepada pemberita selepas melawat mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Ayer Molek di sini pada Jumaat.

Rahmad berkata, kes positif di Melaka menunjukkan penurunan selain penggunaan hospital bagi rawatan Covid-19 di wad hanya sekitar 35 peratus manakala jumlah pesakit di unit rawatan rapi (ICU) antara 15 hingga 17 pesakit setakat ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, Jawatankuasa Khas Pengurusan Covid-19 negeri juga akan mengkaji prosedur operasi standard (SOP) untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka sekiranya ada penambahbaikan selepas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dijangka membentangkan SOP itu pada Jumaat.

"Apabila pilihan raya nanti sudah tentu ramai datang termasuk jentera parti dari luar ke Melaka, jadi kita mahu mengingatkan mereka supaya mematuhi SOP ditetapkan kerana tidak mahu berlaku risiko peningkatan kes.

"Selain itu, saya juga mencadangkan bilik gerakan mana-mana jentera parti politik supaya dapat menyediakan kit ujian kendiri Covid-19 kerana ia penting bagi melindungi diri dan orang sekeliling daripada jangkitan sekali gus memastikan langkah pencegahan sentiasa diamalkan," katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: