Pasaran buruh dijangka bertambah pada separuh kedua 2021: MIER
KEADAAN pasaran buruh dijangka bertambah pada separuh kedua tahun ini dan akan berterusan sehingga tahun depan seiring dengan pembukaan semula aktiviti ekonomi serta sokongan kewangan dari kerajaan.
Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) berkata, kerajaan telah menyediakan pakej bantuan dan bantuan kewangan termasuk Bantuan Prihatin Rakyat (RM6.5 bilion), Bantuan Prihatin Nasional (RM2.4 bilion), dan Subsidi Upah (RM4.3 bilion).
Pasaran buruh lemah pada tujuh bulan pertama tahun 2021 disebabkan kadar pemberhentian pekerja meningkat, tawaran pekerjaan yang rendah dan kadar penyertaan tenaga kerja lebih rendah.
"Keseluruhan kadar pengangguran berada pada 4.8 peratus pada bulan Julai 2021, melebihi nilai ambang pekerjaan penuh sebanyak 4.8 peratus," katanya dalam laporan Prospek Ekonomi Malaysia - Suku Ketiga 2021.
Pengangguran dalam kalangan belia dan graduan muda juga menimbulkan kebimbangan kerana jumlah bakat muda dan berpendidikan terus meningkat dalam persekitaran permintaan buruh yang menurun, sektor perniagaan terjejas dan prospek ekonomi.
"Perbezaan gaji sebenar dan prospek yang lebih baik di luar negara telah mendorong golongan muda berhijrah ke luar negara," kata MIER.
Selain itu, kadar pengangguran kekal tinggi berikutan sekatan terhadap waktu operasi dan penetapan kapasiti dilaksanakan kerajaan telah menjejaskan golongan muda, wanita, ibu tunggal, mereka yang berpendidikan rendah dan tidak mempunyai kemahiran.
Kemelesetan ekonomi yang berpanjangan mungkin boleh mengakibatkan kemerosotan produktiviti dan pekerjaan serta kadar pengangguran lebih tinggi, ia menyebabkan jurang lebih besar daripada segi pendapatan, kuasa beli perbelanjaan penggunaan dan kekayaan, katanya.
"Pengangguran juga akan menjadi masalah melangkah ke hadapan ekoran daripada kemajuan teknologi, digitalisasi dan inovasi sejak beberapa tahun lepas telah mengakibatkan berlaku kemahiran tidak sepadan dengan pasaran pekerjaan, permintaan terhadap buruh berkemahiran rendah berkurangan dan seterusnya menyebabkan jumlah pengangguran meningkat,” kata MIER. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!