BCI naik kepada 97 mata cerminkan sentimen perniagaan lebih baik

Foto hiasan
Foto hiasan
A
A
A

INDEKS Keadaan Perniagaan (BCI) Malaysia meningkat sedikit sebanyak 9.5 mata kepada 97 mata pada suku ketiga 2021, menunjukkan sentimen perniagaan yang lebih baik.

Menurut Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER), sentimen perniagaan yang lebih baik itu disebabkan peningkatan jualan yang mengagumkan selain pertambahan pesanan domestik dan eksport.

“Dari aspek ini, kita dapat melihat melalui prospek ekonomi yang lebih baik, perbelanjaan pengguna mula meningkat. Selain itu, walaupun terdapat penurunan dalam pengeluaran dan pelaburan modal, kemerosotan hanya sedikit,” katanya dalam Laporan Kajian Keadaan Perniagaan pada Suku Ketiga 2021 yang dikeluarkan pada Jumaat.

Berdasarkan tahun ke tahun, institut penyelidikan itu berkata indeks meningkat pada kadar yang menggalakkan sebanyak 10.7 mata berbanding tahun sebelumnya.

Katanya, berdasarkan komponen jualan pembuatan BCI, jualan menunjukkan kenaikan sebanyak 3.9 mata kepada 38.8 mata daripada 34.9 mata pada suku tahun sebelumnya.

Mengenai pesanan domestik, katanya sub-indeks terus mencatatkan aliran meningkat sebanyak enam mata daripada suku tahun sebelumnya kepada 33.8 mata.

Katanya, dari segi pesanan eksport, sub-indeks mencatatkan kenaikan sebanyak 5.9 mata berbanding suku tahun sebelum ini kepada 55.9 mata.

MIER berkata, Indeks Pelaburan Modal merosot sedikit sebanyak 5.3 mata kepada 54.7 mata, penurunan suku tahun kedua berturut-turut pada 2021.

Artikel Berkaitan:

Katanya, status pelaburan modal yang kurang menggalakkan disebabkan sebahagiannya daripada ketidakstabilan ekonomi tempatan yang menyaksikan perniagaan lebih cenderung untuk mengasingkan sebahagian besar simpanan tunai mereka untuk menampung situasi yang tidak dijangka.

“Keadaan pekerjaan merosot dengan ketara berbanding suku tahun sebelumnya dengan hanya 13 peratus daripada syarikat melaporkan bahawa tenaga kerja mereka meningkat berbanding 17 peratus pada suku tahun sebelumnya,” katanya.

Katanya, sebanyak 15 peratus daripada majikan melaporkan pengurangan pekerjaan, penurunan sebanyak lima peratus daripada suku tahun sebelumnya dan hanya 48 peratus daripada majikan melaporkan kenaikan kos upah, penurunan dua mata peratusan berbanding suku tahun sebelumnya.

“Pengeluar terus mempunyai jangkaan optimis mengenai pesanan domestik, pesanan eksport, jumlah pengeluaran dan pekerjaan untuk tempoh tiga bulan akan datang. Mereka menjangka pemulihan ekonomi akan jauh lebih baik pada suku akhir 2021,” katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!