Anggota polis maut bertembung kenderaan ubah laluan
KULAI - Seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal maut selepas motosikal ditunggangnya terbabit dalam satu kemalangan di KM 20.9 Lebuh Raya Utara Selatan (Arah Utara) pada pagi Jumaat.
Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Tok Beng Yeow berkata, pihaknya menerusi anggota trafik yang bertugas di kawasan itu menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 12.15 tengah hari.
“Siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila mangsa yang berusia 35 tahun menaiki motosikal jenis Yamaha R25 gagal mengelak kereta jenis Produa Alza di hadapannya.
“Kereta itu dipercayai secara tiba-tiba mengubah laluan pemanduan ke lorong kiri setelah memotong kenderaan yang lain,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Jumaat.
Beng Yeow berkata, mangsa yang bertugas di cawangan komandan Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Utara disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di bahagian kepala.
Katanya, mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim, di sini untuk proses bedah siasat.
“Dalam kemalangan ini, pemandu kereta Produa Alza itu bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Kedua-dua kenderaan turut dibawa ke Puspakom Senai untuk diperiksa. Kes disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!