Sebar gambar bogel kenalan, wanita hamil didenda RM7,000

No Image Caption
A
A
A

PETALING JAYA - Seorang wanita warga Thailand yang sedang hamil empat bulan dijatuhi hukuman denda RM7,000 atau dua bulan penjara oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan memuat naik gambar bogel kenalannya di laman sosial Facebook, Ogos tahun lalu.

Hakim Norshila Kamaruddin menjatuhkan hukuman itu terhadap Miss Sirirat Pichetwanich, 33, selepas dia mengekalkan pengakuan bersalahnya pada hari ini selepas pertuduhan dibacakan semula terhadapanya dalam Bahasa Inggeris.

Miss Sirirat didakwa menggunakan aplikasi Facebook dengan nama samaran 'amthebonusIamthebonusiamthebonus' secara sedar memuat naik gambar bogel kenalan wanitanya yang juga warga Thailand dengan kapsyen yang bertujuan untuk mengaibkan wanita itu.

Kesalahan itu dilakukan di Kelab King Way, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur, pukul 2.00 pagi, 23 Ogos 2018 mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 233 (3) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya dan denda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Zhafran Rahim Hamzah memohon hukuman setimpal berbentuk pengajaran terhadap tertuduh.

Bagaimanapun, peguam Datuk Suraj Singh yang mewakili wanita itu memohon hukuman ringan atas alasan anak guamnya mempunyai dua anak yang masih kecil berusia satu dan empat tahun.

"Anak guam saya juga sedang hamil empat bulan dan ini merupakan kesalahan pertamanya," katanya.

Mengikut fakta kes, pada 23 Ogos tahun lalu, mangsa yang warga Thailand dihubungi oleh rakannya yang memaklumkan ada satu profil akaun Facebook atas nama 'IamthebonusIamthebonusiamthebonus' memuat naik gambar bogelnya di situ.

Artikel Berkaitan:

Mangsa kemudian membuat laporan polis dan suami kepada tertuduh memaklumkan pihak berkuasa bahawa akaun Facebook itu milik isterinya sebelum wanita itu ditahan pihak polis.

Hasil siasatan mendapati tertuduh memuat naik gambar bogel mangsa yang terdapat di dalam telefon bimbit suaminya yang bekerja sebagai Eksekutif Teknologi Maklumat.

Difahamkan, tertuduh berbuat demikian selepas mendapat tahu mangsa yang juga warga Thailand pernah menjalinkan hubungan sulit dengan suaminya sebelum ini. -Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!