Warga emas hilang ditemukan meninggal dunia
KAMPAR - Seorang lelaki warga emas yang dilaporkan hilang di ladang kelapa sawit Ayer Papan, Tanjung Tualang di sini sejak Rabu ditemukan meninggal dunia.
Mayat Md Isa Panjang Abdullah, 86, ditemui oleh pekerja ladang pada jam 7 petang pada Jumaat di ladang berkenaan, kira-kira 10 kilometer dari rumahnya.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Batu Gajah, Mohd Norshah Shari berkata, pasukan penyelamat bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima maklumat mengenai penemuan mangsa.
"Mangsa ditemui dalam keadaan terbaring di tepi jalan dengan lengkap berpakaian.
"Anggota mengalami kesukaran untuk tiba di lokasi penemuan kerana laluan sempit yang hanya boleh dilalui kenderaan bermotosikal," katanya ketika ditemui di pos kawalan tempat kejadian di Ayer Papan di sini pada Jumaat.
Menurutnya, mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
Norshah berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa dijalankan selepas menerima maklumat pada jam 11.30 pagi pada Khamis.
Katanya, khidmat Unit Anjing Pengesan (K9) dari Ibu Pejabat JBPM dibawa untuk menyertai operasi meliputi kawasan seluas enam kilometer di ladang kelapa sawit berhampiran.
"Pengesanan dilakukan bermula dari penemuan selipar yang dipercayai milik mangsa di tempat kejadian.
"Operasi dibantu Unit K9 yang dijalankan bermula dari rumah mangsa di Kampung Air Papan ke kawasan ladang kelapa sawit melalui laluan denai," katanya.
Mohd Norshah berkata, operasi membabitkan kekuatan 48 anggota terdiri daripada bomba, polis, Rela, Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Tanjung Tualang dan penduduk kampung.
Mangsa dilaporkan keluar bersendirian dengan berjalan kaki pada Rabu dan tidak pulang ke rumah.
Difahamkan, anak lelaki mangsa ada menjumpai sebelah selipar bapanya di kawasan kebun sawit berhampiran sebelum membuat laporan polis untuk bantuan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!