Pesawah harap Bajet 2022 peruntuk wang ihsan untuk petani
ALOR SETAR - Golongan petani di Kedah berharap Bajet 2022 memperuntukkan wang bantuan kepada mereka untuk meringankan beban perbelanjaan dalam tempoh rehat sementara menunggu hasil tuaian padi.
Pengerusi Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (Pesawah), Muhammad Fuad Yaacob berkata, petani amat bersyukur sekiranya kerajaan dapat mengembalikan pemberian wang bantuan sebanyak RM500 selama tiga bulan seperti sebelum ini kepada petani ketika tempoh rehat, tunggu dan tuai.
“Di bawah pentadbiran bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dulu, petani pernah menerima wang ihsan untuk membantu mereka meneruskan kehidupan sementara menunggu hasil tuaian.
“Sebelum ini petani terima selama tiga bulan, namun kini bantuan wang ihsan itu tiada dan diharap ia diberikan semula untuk meringankan beban,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Katanya, petani memohon pemberian wang ihsan selama tiga bulan, sekaligus berharap berita gembira dari kerajaan melalui Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dibawah konsep Keluarga Malaysia.
“Dengan ini, petani yang membelanjakan banyak wang untuk mengusahakan sawah padi sekurang-kurangnya mempunyai wang sementara waktu untuk menyara kehidupan mereka sekeluarga,” katanya.
Tambahnya, ketika ini, kenaikan kos benih padi hingga mencecah RM40 hingga RM50 bagi satu beg seberat 20 kilogram (kg) dan input pertanian hingga lebih 80 peratus telah membebankan petani.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!