'Kami minta maaf'

No Image Caption
A
A
A

JUARA Liga Premier, Negeri Sembilan FC (NSFC) terpaksa menarik diri daripada saingan Piala Malaysia musim ini setelah empat pegawai dan 20 pemainnya disahkan dijangkiti Covid-19.

Pengendali NSFC, K. Devan berkata, keputusan itu dibuat hasil perbincangan dengan pihak pengurusan berikutan kekangan masa memandangkan aksi peringkat kumpulan akan kembali bersambung minggu depan.

Malah, beliau memberitahu, pihak pengurusan membuat keputusan untuk menarik diri kerana menyedari pemain-pemain tidak sempat sembuh dan berlatih sebelum perlawanan setelah melalui kuarantin selama 10 hari.

“Jangkitan pertama adalah pada 18 Oktober lalu dan tempoh kuarantin pula selama 10 hari. Jadi ini bermakna pada 27 Oktober, barulah pemain boleh keluar daripada kuarantin dan bebas jangkitan.

“Kami ada perlawanan dengan Kedah pada 29 Oktober di Paroi dan ini bermakna kita ada hanya sehari untuk berlatih sebelum perlawanan. Kami juga ada perlawanan di Stadium Darul Aman pada 2 November diikuti 6 November (berdepan Melaka United di Paroi) dan 9 November (Kelantan United di Paroi).

“Jadi keadaan memang tidak mengizinkan untuk kami berlatih dan bermain. Ini ditambah pula nasihat doktor bahawa kami juga tidak boleh lakukan latihan dengan intensiti yang tinggi.

“Demi menjaga kesihatan semua pihak, keputusan menarik diri ini adalah yang terbaik. Kami tidak mahu memberikan masalah kepada pihak lain dan kami juga tidak mahu mengganggu jadual Piala Malaysia sedia ada,” katanya kepada Sukan Sinar pada Jumaat.

Menerusi satu kenyataan media pada Jumaat, Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan mengesahkan seramai empat pegawai dan 20 pemain Hoben Jang Hoben dijangkiti Covid-19.

Artikel Berkaitan:

“Pegawai dan pemain terbabit sedang menjalani kuarantin wajib di rumah dan dipantau selama 10 hari oleh pihak Kementerian Kesihatan. Ujian pengesanan Covid-19 secara berterusan sedang dilakukan bagi kontak rapat para pemain dan pegawai NSFC yang terlibat.

“Demi menjaga keselamatan semua pihak serta saranan doktor pasukan, pihak NSFC ingin memohon kemaafan kepada penyokong kerana hal ini menyebabkan pasukan tidak dapat meneruskan baki saingan Piala Malaysia musim ini,” menurut kenyataan itu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!