Lantikan semula portfolio sama beri kesinambungan kepada dasar

Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pelantikan semula mengetuai portfolio yang sama sedikit sebanyak memberi kesinambungan kepada dasar yang telah dilaksanakan sejak 18 bulan lepas, kata Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Menurutnya, pelantikan tersebut membantu beliau dan pasukannya di Kementerian Kewangan (MoF) untuk memberi tumpuan kepada membantu rakyat dan peniaga yang amat terkesan oleh pandemik Covid-19.

“Justeru, kesinambungan itu penting dari segi dasar, pelaksanaan, pemantauan dan keberhasilan.

“Kami (MoF) masih membuat laporan mingguan (laporan Laksana) untuk memberi gambaran kepada rakyat mengenai hasil atau pelaksanaan dari segi inisiatif yang telah diumumkan,” katanya pada program Inklusif: 100 Hari Mendepani Cabaran, Memperkasa Ekonomi #Keluarga Malaysia terbitan RTM pada Jumaat.

Menjawab persoalan mengenai usaha untuk memperkukuh dasar asas kepada rakyat yang terkesan oleh pandemik Covid-19, Tengku Zafrul berkata, MoF menggunakan kaedah interaksi libat urus dengan peniaga, persatuan dan pihak berkepentingan untuk mengetahui masalah yang dihadapi golongan ini.

“Jika kita lihat kepada perusahaan kecil dan sederhana serta mikro (PKSM) merupakan golongan yang paling terkesan.

“Itu sebabnya kita meneruskan inisiatif atau bantuan Geran Khas Prihatin yang mana peruntukan pembayaran berjumlah kira-kira RM6.08 bilion diberikan kepada satu juta PKS mikro,” katanya.

Beliau berkata, cabaran utama yang dihadapi PKS terutamanya dalam sektor-sektor yang terkesan seperti peruncitan dan pelancongan merupakan modal kerja.

Artikel Berkaitan:

“Kita telah memberi bantuan dari segi pembiayaan, moratorium dan sebagainya, namun, jika mereka masih lagi memerlukan bantuan, MoF sedang memperhalusi cara untuk lebih fokus kepada kumpulan peniaga dalam Bajet 2022,” katanya.

Tengku Zafrul berkata, melalui kenyataan pra-bajet dan pentas konsultasi awam, sebagai usaha untuk menambah baik proses penyediaan bajet tahunan, langkah ini telah membantu kerajaan dalam mendapatkan input dan maklum balas dalam beberapa bidang.

“Ramai rakyat Malaysia, syarikat dan persatuan telah memberi maklum balas yang baik dan banyak yang akan kita gunakan dalam Bajet 2022,” katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!