Terbuka Denmark: Pengalaman, kematangan bezakan Zii Jia, Axelsen
PENGALAMAN dan kematangan sekali lagi merupakan dua perkara membezakan persembahan juara Sukan Olimpik Tokyo 2020, Viktor Axelsen dan juara Seluruh England, Lee Zii Jia apabila kedua-duanya berentap di pentas kejuaraan Terbuka Denmark.
Pada perlawanan suku akhir acara perseorangan lelaki di Odense Sports Park itu, Axelsen berstatus nombor dua dunia tersebut yang tidak pernah tewas dalam 17 pertarungan terakhirnya sejak tewas kepada Zii Jia di pentas Seluruh England pada Mac lalu, berjaya menewaskan lawannya yang juga pemain nombor lapan dunia straight set, 21-19, 21-19.
Pada perlawanan tersebut Axelsen yang dibarakan sorakan padu dalam kalangan penyokong tuan rumah ternyata tampil mempamerkan corak bertahan mantap untuk memerangkap jaguh nombor satu negara tersebut bagi mengesahkan kemaraan ke separuh akhir.
Biarpun begitu Zii Jia kelahiran Alor Setar berusia 23 tahun berkenaan berjaya memberi tentangan sengit kepada Axelsen yang berusia 27 tahun dari Odense tersebut apabila kedua-duanya sering mengejar mata dalam aksi berintensiti tinggi selama 39 minit itu.
Kemenangan itu menyaksikan Axelsen akan menentang bintang Hong Kong, Lee Cheuk Yiu dalam saingan separuh akhir bagi pemburuan slot perlawanan akhir.
Sementara itu, pemain nombor satu dunia, Kento Momota, 27, dari Jepun bakal membuat perhitungan dengan pemain sensasi Indonesia,Tommy Sugiarto, 33, yang berstatus ranking 32 dunia dalam satu lagi perlawanan separuh akhir.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!