Pendidik harus bijak beradaptasi pastikan pendidikan semakin relevan

Gambar hiasan. - Foto 123rf
Gambar hiasan. - Foto 123rf
A
A
A

SHAH ALAM -[DIKEMAS KINI] Pandemik Covid-19 yang melanda dunia menuntut pendidik untuk sentiasa berfikiran kreatif dan proaktif supaya tidak mudah mengalah dengan situasi itu.

Ketua Pengarah Pendidikan, Datin Seri Nor Zamani Abdol Hamid berkata, sebagai warga pendidikan perlu bijak mengadaptasi diri bagi memastikan perkembangan pendidikan sentiasa relevan.

Beliau juga mahu pendidik di negara ini dapat menyempurnakan perancangan pendidikan dan disesuaikan dengan situasi pengajaran serta pembelajaran.

“Usaha ini dapat diterjemahkan dari masa ke masa melalui penggabung jalinan aplikasi yang menekankan aspek penglibatan murid secara aktif dan menyeluruh.

“Amalan yang dihasilkan oleh guru seharusnya dimanfaatkan secara optimum dengan menyebarluaskan pelbagai medium dan aplikasi,” katanya ketika merasmikan Konvensyen Pendidikan Putrajaya 2021 anjuran Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Putrajaya secara dalam talian pada Sabtu.

Bercakap mengenai konvensyen itu, Nor Zamani berkata, program berkenaan bertujuan memberi pelbagai anugerah dan membawakan pembentangan kajian peringkat sekolah Wilayah Persekutuan Putrajaya serta Pembentangan kajian tindakan dari Jabatan Pendidikan Negeri Selangor, Melaka dan Kuala Lumpur.

Menurutnya, Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 11 (1) telah dinobatkan pemenang bagi Anugerah Khas Yayasan Guru Tun Hussein Onn (YHTHO) Pendidikan 2021 (KPP 2021).

“Tahniah dan syabas kepada ahli jawatankuasa pelaksana yang berjaya merealisasikan hasrat murni ini demi kelangsungan akademik negara ke taraf yang membanggakan.

Artikel Berkaitan:

“Seperti sedia maklum bahawa dengan mendepani cabaran pendidikan abad ke-21 aspek pedagogi adalah aspek ilmu yang penting bagi memastikan pengajaran dan pembelajaran menjadi lebih berkesan.

Menurutnya, sesuai temanya, Perkongsian Amalan Terbaik Dalam Pengajaran dan Pembelajaran sesuai untuk memperkasakan kemahiran berfikir aras tinggi melalui norma baharu.

Nur Zamani berkata, tujuan Konvensyen Pendidikan 2021 juga untuk guru berkongsi pengetahuan, kemahiran, penyelidikan, dapatan dan inovasi memberi manfaat kepada murid serta kepada dunia pendidikan secara umumnya.

Tambah beliau, usaha tersebut mampu mewujudkan kerjasama organisasi secara optimum dalam meningkatkan profesionalisme perguruan khususnya dari aspek pedagogi dan amalan terbaik pengajaran dan pembelajaran di rumah.

“Saya berharap semua guru mengambil peluang ini untuk terus meningkatkan pengetahuan dan kemahiran dalam meningkatkan potensi diri,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!