Penunggang motosikal tinggalkan isteri lari sekatan jalan raya
KUALA LUMPUR - Akibat panik dan bimbang ditahan, seorang warga Indonesia nekad meninggalkan isterinya untuk melarikan diri semasa pemeriksaan kenderaan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di Plaza Tol Jalan Duta, di sini pada Jumaat malam.
Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 malam itu, lelaki berusia 30 tahun yang menunggang motosikal jenis Honda Vario bertindak melarikan diri selepas diminta mengemukakan lesen motosikal dan dokumen pengenalan diri oleh pihak penguat kuasa ketika Op Bersepadu.
Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Operasi) JPJ, Aedy Fadly Ramli berkata, lelaki terbabit diminta memberhentikan motosikal ditunggang bersama isterinya sebelum dia berpura-pura membuat panggilan telefon.
Beliau berkata, suspek kemudian melarikan diri sejauh 200 meter menghala ke tengah lebuh raya sebelum berjaya ditahan beberapa anggota penguat kuasa.
"Semakan lanjut mendapati pasangan suami isteri itu berasal dari Surabaya, Indonesia dan masing-masing tidak mempunyai dokumen sah. Mereka sedang dalam perjalanan dari Shah Alam ke Segambut," katanya ketika sidang akhbar di sini.
Aedy Fadly berkata, 318 notis kesalahan dikeluarkan dalam operasi bermula pada jam 8 malam hingga 12 tengah malam.
“Daripada jumlah itu, 158 kes melibatkan kesalahan Lesen Kenderaan Motor diikuti nombor pendaftaran kenderaan sebanyak 73 kes; cermin gelap (66); sembilan kesalahan teknikal; tujuh kesalahan lampu HID; dan cermin sisi sebanyak lima kes,” katanya.
Pemeriksaan lain turut dijalankan agensi terlibat termasuk pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN), mengenal pasti pendatang tanpa izin yang menetap lebih masa, penyalahgunaan pas lawatan sosial, tiada dokumen pengenalan diri, penyalahgunaan dadah serta penguatkuasaan Peraturan Kualiti Alam Sekitar (Bunyi Bising Kenderaan Motor) 1987 dan Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Kawalan Pelepasan Daripada Motosikal) 2003.
Operasi Bersepadu berkenaan melibatkan 129 anggota daripada pelbagai agensi penguatkuasaan termasuk Polis Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen, Agensi Antidadah Kebangsaan dan Jabatan Alam Sekitar. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!