'Allahyarham tidak sempat ziarah kubur bapa'
SUNGAI BESAR - Allahyarham Azhar Ramli, 38, yang meninggal dunia dalam kejadian lemas di Tali Air Jeti Sungai Nipah Baroh di sini berhasrat menziarahi kubur arwah bapanya pada Ahad lalu namun tidak kesampaian.
Ibunya, Melor Annuar, 71, berkata, hasrat itu disampaikan Allahyarham Azhar semasa pulang menziarahinya di Kampung Nakhoda, Batu Caves.
Bagaimanapun katanya, anak keempat daripada enam beradik itu tidak dapat menziarahi kubur berikutan pagar Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Tua berkunci.
"Arwah ada beritahu sebelum pulang ke rumah mertuanya, dia hendak singgah ziarah kubur arwah bapanya. Itu hasrat terakhirnya. Saya tidak menyangka selepas pemergian suami pada Mac tahun lalu, anak saya pula pergi buat selamanya," katanya kepada Sinar Harian di sini pada Sabtu.
Melor berkata, kali terakhir dia menemui Allahyarham Azhar ketika anaknya itu bertandang ke rumah pada Sabtu lalu.
"Semasa arwah datang ke rumah, dia ada mengajak saya datang ke sini (Kampung Sungai Nipah), saya beritahu arwah kalau senang nanti saya ke sana.
"Saya tak sangka rupanya kedatangan saya hari ini hanya dapat menatap jenazah arwah yang tidak lagi bernyawa buat kali terakhir," ujarnya.
Sementara itu, ibu mertua Allahyarham Azhar, Jamiah Muhammad, 67, berkata, menantunya sudah menetap bersamanya di Kampung Sungai Nipah Baroh sejak tujuh tahun lalu.
Jamiah memberitahu, Allahyarham yang meninggalkan isteri dan tiga anak berusia lingkungan 7 hingga 13 tahun merupakan menantu bertanggungjawab, rajin bekerja dan mengambil berat tentang pendidikan agama anak-anaknya.
"Arwah sebelum meninggal dunia sempat berpesan kepada anak-anaknya supaya tidak meninggalkan solat.
"Dia suami yang baik pada anak saya dan kehilangannya amat dirasai apatah lagi dia banyak membantu menguruskan hal keluarga selain turut berkongsi rezeki dengan saya yang juga telah kehilangan suami," katanya.
Saksi kejadian, Mohd Razin Ibrahim, 45, berkata, kejadian lemas berlaku semasa dia bersama seorang sepupu dan anak saudara berbual di jeti terbabit.
"Saya ada nampak arwah turun ke kunci air dan tidak lama selepas itu saya nampak tangan arwah terkapai-kapai.
"Saya bersama dua lagi (sepupu dan anak saudara) terus terjun ke dalam kunci air tetapi kami gagal selamatkan arwah," katanya.
Mohd Razin berkata, mereka menyelam kira-kira lima minit sebelum naik semula ke darat kerana paras air terlalu tinggi selepas hujan pada malam sebelum kejadian selain air pasang.
"Saya naik ke darat semula dan salah seorang daripada kami terus menghubungi bomba untuk operasi membantu dan menyelamat," katanya.
Sementara itu, Pengarah Bomba Selangor, Norazam Khamis berkata, mangsa kemas dijumpai pada jam 11.45 malam Jumaat pada jarak tiga meter dari lokasi mangsa terjatuh.
Beliau berkata, mangsa ditemui pasukannya dan orang awam pada kedalaman dua meter dan kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
"Mangsa dipercayai terjatuh dari jeti muara terbabit ketika ingin mencuci muka pada kira-kira jam 2 petang Jumaat," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!