Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra kembali sibuk
KOTA BHARU - Kebenaran merentas negeri digunakan sebaik mungkin rakyat Kelantan untuk keluar menguruskan urusan mereka yang tergendala sebelum ini terutamanya mereka yang mahu bertemu keluarga di luar Kelantan.
Ia terbukti apabila Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) kembali sibuk dengan penerbangan keluar masuk dari beberapa negeri terutamanya Kuala Lumpur.
Malaysia Airport Holding Berhad (MAHB) Kelantan ketika dihubungi memaklumkan, sebanyak 21 penerbangan disediakan terutamanya pada Sabtu, Selasa dan Khamis dengan jumlah pengunjung lebih 3,000 sehari sejak aktiviti rentas negeri dibenarkan awal Oktober lalu.
Menurut MAHB, LTSIP kembali sibuk sebagaimana sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan ia dijangka memberi impak yang cukup positif kepada perkembangan ekonomi negeri ini.
Tinjauan Sinar Harian mendapati antara penerbangan yang disediakan adalah ke Kuala Lumpur, Subang, Pulau Pinang, Langkawi, Kota Kinabalu, Kuching dan sebagainya.
Parkir lot yang disediakan juga mula dipenuhi dengan kenderaan terutamanya mereka yang menggunakan perkhidmatan dua hala untuk hari yang sama.
Seorang pengunjung, Nurul Farahim Billah Abdullah, 29, berkata, sejak dibenarkan rentas negeri, ini kali pertama dia dan suami menggunakan perkhidmatan awam kapal terbang memandangkan mereka perlu ke Kuala Lumpur untuk membawa pulang kereta.
"Saya ke sana sebab mahu ambil kereta, jadi kami naik kapal terbang. Biasanya kami naik kereta saja. Alhamdulillah, mujur penerbangan kembali berjalan seperti biasa.
"Sebelum ini, payah juga kalau kami terpaksa ke Kuala Lumpur, sebab banyak dokumentasi yang perlu disediakan. Sekarang ini, senang saja apa yang penting jaga prosedur operasi standard (SOP) masing-masing," katanya kepada Sinar Harian di sini pada Sabtu.
Azizan Mat Hassan, 57, dari Kampung Banggol pula berkata, dengan adanya penerbangan yang banyak, ia memudahkan lagi orang ramai untuk memilih waktu yang bersesuaian untuk ke luar negeri.
Azizan yang mahu ke Kuala Lumpur untuk menziarahi salah seorang keluarganya yang meninggal dunia di Damansara berkata, pada mulanya dia dan suami agak risau jika jadual penerbangan agak renggang.
"Kami risau juga sebab kami mahu sampai sebelum pengebumian, alhamdulillah masa tiba di kaunter, banyak penerbangan disediakan. Walaupun tidak sempat untuk awal pagi, tapi masih ada lagi penerbangan selepas itu," katanya.
Sementara itu, Mohd Nasiruddin Che Ahmad, 33, berkata, dia berharap perkhidmatan di kaunter kawalan utama diperbanyakkan bagi mengurangkan kesesakan di kawasan berkenaan.
Katanya, kaunter kawalan perlu dibuka lebih dari satu pada waktu kemuncak terutamanya hari minggu dan cuti umum.
"Kaunter kena buka banyak sebab bila menunggu lama, kesesakan akan berlaku dan ia akan merugikan masa banyak pihak selain membahayakan akibat Covid-19," katanya.
Berbeza pula dengan seorang pengunjung, Suhaida Hassan, 29, yang berharap kedai-kedai jualan terutamanya restoran diperbanyakkan lagi selepas ini bagi memudahkan orang ramai dan mereka yang menghantar saudara mara.
"Mungkin penambahbaikan nanti boleh tambah kedai dan restoran. Kadang-kadang kita tidak sempat makan atau pun kapal terbang lewat masa dan sebagainya, maka kita memerlukan tempat duduk dan makanan sebelum berlepas," katanya.
Mengulas mengenai penjagaan SOP di LTSIP, seorang penumpang, Mohd Sukirman Mustafa, 42, berkata, dia sangat berpuas hati dengan kerjasama yang diberikan pihak yang bertugas memandangkan penjagaan keselamatan diri adalah tanggungjawab bersama.
"Masa mula-mula masuk lagi kena periksa suhu, periksa MySejahtera dan periksa pelitup muka bagi memastikan kita tidak pernah lalai dalam menjaga diri.
"Ini penerbangan kedua saya dalam tempoh seminggu dan saya lihat dalam kapal terbang pun semua ikut SOP, insya-ALLAH sama-sama kita kawal penularan Covid-19 ini," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!