MBSA rancang bina laluan basikal 80km
SHAH ALAM - Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) merancang menyediakan laluan berbasikal sepanjang 80 kilometer di sekitar bandar raya ini.
Datuk Bandarnya, Datuk Zamani Ahmad Mansor berkata, setakat ini, MBSA telah menyiapkan laluan sepanjang 30 kilometer sejak tahun 2013 di sekitar pusat bandar Shah Alam.
Beliau berkata, baki laluan berkenaan sepanjang 30 kilometer lagi akan dilaksanakan secara berperingkat membabitkan laluan baharu di Seksyen 13, 18, 20 dan 24.
"Di samping itu, kita akan melengkapkan penyambungan laluan sedia ada di Seksyen 2, 5 dan 7.
"Inisiatif yang dilaksanakan ini juga selaras dengan matlamat pembangunan mampan bagi menjadikan Shah Alam sebagai bandar sukan dan rekreasi," katanya selepas program berbasikal bersempena Pelancaran Hari Sukan MBSA 2021 di Kota Kemuning di sini, pada Sabtu.
Tambah Zamani, Shah Alam sesuai dijadikan bandar sukan berikutan terdapat beberapa tasik dan pusat rekreasi menarik di samping turut mendapat kunjungan masyarakat luar.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!