Pandelela-Nur Dhabitah huni tangga keempat

- Foto Bernama
- Foto Bernama
A
A
A

PASANGAN negara, Pandelela Rinong dan Nur Dhabitah Sabri terpaksa berpuas hati menamatkan saingan acara 10 meter (m) platform seirama wanita akhir di tempat keempat pada Kejohanan Siri Dunia Terjun FINA 2019 di Beijing, China hari ini.

Dalam acara yang berlangsung di Pusat Akuatik Nasional yang juga dikenali sebagai 'Water Cube’ itu, gandingan negara mengutip 305.76 mata selepas menamatkan lima terjunan.

Mereka ketinggalan 7.38 mata di belakang penerjun Kanada, Meaghan Benfeito-Caeli McKay yang meraih pingat gangsa.

Pandelela-Nur Dhabitah pada mulanya melakukan terjunan konsisten dan hampir menghadiahkan pingat gangsa buat skuad terjun negara dengan mengumpul 170.40 mata.

Namun, gandingan negara itu sedikit goyah pada terjunan keempat dengan kutipan 64.32 mata, sekali gus membolehkan pasangan dari Kanada memintas mereka dengan 75.84 mata.

Pingat emas acara itu menjadi milik pasangan dari China, Lu Wei-Zhang Jiaqi dengan kutipan 354.06 mata manakala perak diraih pasangan Kim A Rim-Kim Mi Rae dari Korea Utara dengan 325.80 mata.

Nur Dhabitah akan bergandingan dengan Muhammad Syafiq Puteh dalam 3m papan anjal seirama campuran hari ini manakala Pandelela pula beraksi dalam acara 10m platform individu pada Ahad.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!