Sedia tempat pelupusan sampah elektronik di setiap daerah
KUALA TERENGGANU - Kerajaan negeri akan bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) di semua daerah dalam usaha menyediakan kemudahan tempat pelupusan sampah elektronik (E-Waste).
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Terengganu, Dr Alias Razak berkata, kemudahan tempat pelupusan itu bertujuan memudahkan orang ramai yang tidak tahu cara melupuskan sampah kategori ini.
Menurutnya, tahap kesedaran masyarakat mengenai cara pelupusan E-Waste masih sederhana dan majoriti masyarakat mengambil jalan mudah dengan menyimpan dalam stor rumah kerana tidak tahu lokasi pembuangan sampah itu.
"Tanpa disedari sampah kategori E-Waste ini sangat banyak di setiap rumah kerana barang yang rosak perlu dibeli baru. Kos baik pulih yang dikenakan jauh lebih mahal daripada yang baharu," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Program Pengumpulan E-Waste, Sempena Sambutan Alam Sekitar Negara 2021 Peringkat Terengganu, di Pantai Batu Burok, di sini.
Jelas Alias, buat masa ini, dalam usaha memastikan sampah- sampah kategori E-Waste dilupuskan dengan cara terbaik, Jabatan Alam Sekitar Terengganu mengambil inisiatif melesenkan beberapa syarikat yang bertanggungjawab mengumpul dan seterusnya menguruskan proses kitar semula.
Sementara itu, salah seorang pengunjung, Faizal Ahmad, 41, berkata, dia mengetahui kempen berkenaan menerusi aplikasi WhatsApp yang di kongsi rakan-rakan sekerja sebelum ini.
"Saya mengambil keputusan untuk datang bagi memberi sokongan dalam usaha meneruskan pendidikan kepada masyarakat mengenai pengurusan sampah E-Waste ini.
"Sebelum ini saya tidak tahu di mana perlu membuang barangan elektrik yang rosak dan hanya menyimpannya di dalam stor rumah," katanya ketika ditemui.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!