RUU berkaitan pindaan MA63 dibentang 26 Oktober ini
SHAH ALAM - Kerajaan akan meneruskan rancangan untuk membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) bagi meminda beberapa peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan yang berkaitan dengan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) di Parlimen pada 26 Oktober ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, bagaimanapun bacaan kedua RUU itu akan dijadualkan semula ke tarikh lain berbanding rancangan awal pada 28 Oktober depan.
Katanya, ia bagi membenarkan Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun menjelaskan dengan lebih lanjut cadangan pindaan kepada anggota kabinet berkaitan RUU tersebut.
“Kabinet pada prinsipnya bersetuju dan meluluskan memorandum mengenai RUU yang dibentangkan dalam pertemuan terakhir iaitu pada 20 Oktober lalu dan ada yang meminta penjelasan lebih lanjut mengenai cadangan pindaan tersebut.
“Justeru, bagi menjawab persoalan mereka, kabinet setuju untuk meminta Peguam Negara menghadiri mesyuarat kabinet pada 29 Oktober ini untuk menjelaskan pindaan itu.
“Apabila kabinet berpuas hati dengan penjelasan itu, kita akan dapat menetapkan tarikh baharu pembacaan kedua mengenai RUU di Parlimen,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Majlis Khas Perjanjian Malaysia 1963 (MKMA63) pada Isnin yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersetuju dengan cadangan yang dikemukakan oleh Wan Junaidi untuk mentakrifkan semula beberapa peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan dalam konteks Perjanjian Malaysia 1963.
Pindaan Artikel 1 (2) yang diusulkan bertujuan mengembalikan perjanjian seperti dalam Perlembagaan Persekutuan 1963.
Dalam cadangan pindaan tersebut, negeri-negeri Persekutuan kemudiannya akan ditakrifkan sebagai negeri-negeri Tanah Melayu (iaitu negeri di semenanjung Malaysia) dan negeri Borneo (iaitu Sabah dan Sarawak).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!