39 pengawal keselamatan belum dapat gaji

Mazlan menunjukkan memo pemberitahuan kelewatan gaji yang baru diterima.
Mazlan menunjukkan memo pemberitahuan kelewatan gaji yang baru diterima.
A
A
A

PORT DICKSON - Seramai 39 pengawal keselamatan di sembilan buah sekolah membabitkan sebuah syarikat di sini mendakwa dua bulan gaji mereka tertunggak.

Keadaan itu menyebabkan ada yang terpaksa meminjam dengan keluarga dan rakan untuk membiayai perbelanjaan keluarga.

Seorang pengawal keselamatan, Mazlan Aman, 53, mendakwa, dia kini mengalami kemurungan dan tertekan memikirkan masalah itu.

Menurutnya, dia reda apabila majikan ada memaklumkan bahawa berlaku kelewatan bayaran gaji pada bulan Julai.

Bagaimanapun katanya, gaji tetap tidak dibayar walaupun sudah masuk tiga bulan dai tempoh yang dijanjikan sehingga memaksanya meminjam dengan anak saudara, kakak dan rakan.

"Duit simpanan pun sudah habis membayar hutang. Saya tidak tahu bagaimana untuk menanggungnya jika masalah kami berlarutan sehingga tahun depan," katanya kepada media ketika ditemui di sebuah sekolah di sini, pada Sabtu.

Meskipun tidak dibayar gaji, namun kata Mazlan dia tetap bekerja seperti biasa dan menanti dengan penuh harapan agar nasib mereka mendapat perhatian pihak berwajib.

Ismail Tamyis, 54, pula berkata, sepanjang lapan tahun bekerja sebagai pengawal keselamatan, ini kali pertama berlaku masalah tunggakan gaji.

Artikel Berkaitan:

"Syarikat keselamatan sebelum ini tidak pernah ada masalah ini. Kami faham apabila syarikat memaklumkan mereka turut terjejas disebabkan pandemik Covid-19.

"Tapi takkan sampai tiga bulan kami kerja tanpa gaji. Hutang rumah, kereta dan bil perlu dibayar. Sampai bila kami boleh bersabar. Isteri saya pula tidak bekerja dan mempunyai empat anak yang masih belajar.," katanya.

Jelasnya, menerusi memo pemberitahuan kelewatan pembayaran gaji terbaru, mereka dimaklumkan pembayaran akan dibuat selewatnya hujung bulan ini.

"Kami terima memo kelewatan gaji ini setiap minggu. Contohnya dalam memo kata nak bayar Jumaat, tetapi pada hari itu kami terima memo baru kata akan dibayar Jumaat depan pula. Kami harap mereka tepati janji," katanya.

Selain itu Zaid Zainal Abidin, 53, turut terpaksa meminjam wang dengan keluarga dan rakan untuk membayar tunggakan rumah dan kereta.

"Gaji saya tertunggak hampir RM6,000 dan sejak tidak dibayar gaji, tiap bulan saya terpaksa pinjam dengan ramai orang.

"Saya bersyukur kerana sepanjang dugaan ini ada bantuan barangan keperluan kami terima dari pihak sekolah dan wakil rakyat tetapi sampai bila," katanya.

Menurutnya, syarikat tersebut memberi alasan bahawa mereka mempunyai masalah kewangan menyebabkan gaji masih tidak dapat dibayar mengikut waktu.

Sementara itu Pengarah Jabatan Tenaga Kerja Negeri Sembilan, S Tharu Marajan ketika dihubungi Sinar Harian berkata, pihaknya telah membuka kertas siasatan dan akan diserah kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan lanjut.

"Pihak syarikat memberi alasan kelewatan gaji disebabkan lambat dapat bayaran dari Jabatan Pendidikan Daerah.

"Apabila siasatan dilakukan syarikat bayar tunggakan gaji bulan Julai tetapi tidak pada Ogos dan September," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!