Jemaah umrah teruja kembali jejak Tanah Suci

Pelakon Ashraf Muslim, 40, antara 11 jemaah Malaysia yang menjadi kumpulan pertama menunaikan ibadah umrah selepas kebenaran diberikan oleh kerajaan untuk merentas ke luar negara termasuk mengerjakan ibadah umrah berkuat kuasa pada 18 Oktober lepas. - Foto Bernama
Pelakon Ashraf Muslim, 40, antara 11 jemaah Malaysia yang menjadi kumpulan pertama menunaikan ibadah umrah selepas kebenaran diberikan oleh kerajaan untuk merentas ke luar negara termasuk mengerjakan ibadah umrah berkuat kuasa pada 18 Oktober lepas. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Impian 11 jemaah Malaysia menunaikan ibadah umrah akhirnya tercapai selepas tertangguh hampir dua tahun susulan penularan wabak Covid-19 yang melanda seluruh dunia termasuk Arab Saudi sehingga memaksa penutupan pintu sempadan.

Jemaah tersebut yang merupakan kumpulan pertama berpeluang mengerjakan umrah selepas kebenaran diberikan kepada rakyat Malaysia berkuat kuasa 18 Oktober lepas, meluahkan rasa gembira dan teruja kerana tidak menyangka akan dijemput awal ke tanah suci Makkah dan Madinah.

Berkongsi pengalaman itu, pelakon, Ashraf Muslim, 40, yang kini berada di Tanah Suci berkata, beliau telah mempersiapkan diri bagi menjalani ibadah tersebut dengan norma baharu dan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan Arab Saudi.

“Kita sendiri sudah terbiasa dengan peraturan SOP di Malaysia.

Walaupun di sini (Arab Saudi) ada SOP tertentu, ia banyak membantu jemaah dalam konteks umrah dalam norma baharu,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Ashraf yang telah menunaikan ibadah haji pada 2019 serta berpengalaman beberapa kali menjejakkan kaki di Tanah Suci sebelum pandemik Covid-19, turut berkongsi berkenaan penggunaan aplikasi Eatmarna yang diperkenalkan kerajaan Arab Saudi bagi memudahkan urusan beribadah dan membolehkan jemaah membuat tempahan tempat lebih awal.

Jelasnya, aplikasi itu digunakan bagi membuat tempahan tempat termasuk untuk menunaikan solat lima waktu di Masjid Nabawi dan Masjidil Haram, menziarahi kawasan Raudah dan makam Nabi Muhammad SAW selain membantu pemantauan keselamatan serta melancarkan pendaftaran jemaah.

“Umpamanya kalau masuk ke kawasan Raudah, dulu sebelum ada SOP kita akan bersesak dengan bilangan jemaah yang ramai, tapi dengan aplikasi Eatmarna dapat mengawal jumlah jemaah dalam satu-satu masa.

Artikel Berkaitan:

“Kalau tidak buat tempahan awal kita tidak dibenarkan solat dan perlu menunggu tempahan baharu dibuka,” katanya.

Bagi perunding kewangan Nurfadzilah Abd Rahim, 38, yang lama menyimpan hasrat menunaikan ibadah umrah tidak menyangka pengalaman kali pertamanya mengerjakan ibadah itu dijalani dengan pematuhan SOP.

Nurfadzilah yang berasal dari Kuantan, Pahang berkata, pemakaian pelitup muka diwajibkan di Masjidil Haram dan Masjid Nabawi manakala solat berjemaah kini pada kapasiti penuh dan tiada lagi penjarakan fizikal.

“Perasaan saya bercampur baur antara sedih dan gembira, niat mahu bercuti selepas rentas negara dibenarkan, tapi ALLAH SWT jemput saya ke sini dulu (Tanah Suci),” katanya.

Turut berkongsi perasaan sama, Shafwan Ramli, 27, yang menyifatkan peluang tersebut sebagai rezeki berganda memandangkan ia bukan sahaja kunjungan kali pertamanya ke Tanah Suci, malah menjadi antara rakyat Malaysia terawal dapat menunaikan umrah selepas lama ditutup kerana wabak Covid-19.

“Saya dapat tawaran mengerjakan umrah ini agak cepat apatah lagi ini pengalaman pertama saya, jadi pengetahuan dan persediaan itu tidak banyak.

Alhamdulillah menerusi bimbingan mutawif segala urusan telah dipermudahkan,” katanya yang turut teruja berpeluang solat bersebelahan makam Nabi Muhammad SAW. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!