Siasat anggota enggan terima laporan mangsa cabul
GEORGETOWN - Polis akan menjalankan siasatan secara menyeluruh, telus dan adil berhubung dakwaan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut (IPDTL) yang enggan menerima laporan berhubung kes cabul.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, pihaknya sedang menjalankan siasatan berhubung dakwaan yang kini tular di media sosial sejak Khamis lalu.
Menurutnya, selepas dakwaan itu tular, polis telah memanggil pengadu kes berkenaan ke IPDTL untuk diambil keterangan.
"Kita sudah mengambil keterangan pengadu dalam kes ini bagi mengesahkan dakwaan seperti yang ditularkan.
"Satu kertas siasatan telah dibuka mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana kesalahan mencabul kehormatan," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Kata Soffian, tindakan pegawai atau anggota polis enggan menerima laporan polis orang awam merupakan satu kesalahan serius dan tidak boleh dikompromi.
"Kita akan lakukan siasatan menyeluruh. Jika terkesan salah laku serta kecuaian dalam melaksanakan prosedur penugasan, tindakan tatatertib akan dikenakan kepada pegawai atau anggota yang terlibat," katanya
Pada 21 Oktober lalu, tular satu hantaran di Facebook oleh Urban Life Volunteers yang mendakwa anggota polis dari IPDTL enggan menerima laporan polis yang hendak dibuat oleh seorang mangsa cabul.
Ramai pihak termasuk individu dan badan bukan kerajaan tampil memberi pendapat yang kebanyakannya menyalahkan polis kerana didakwa tidak mahu menerima laporan mangsa.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!