Aktiviti bancian gelandangan di KL 27 Oktober ini

DOSM Kuala Lumpur akan menjalankan bancian terhadap golongan gelandangan di Rumah Transit, Dang Wangi dan Anjung Singgah, Chow Kit pada 27 Oktober depan.- Foto Bernama
DOSM Kuala Lumpur akan menjalankan bancian terhadap golongan gelandangan di Rumah Transit, Dang Wangi dan Anjung Singgah, Chow Kit pada 27 Oktober depan.- Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) Kuala Lumpur akan menjalankan bancian terhadap golongan gelandangan di Rumah Transit, Dang Wangi dan Anjung Singgah, Chow Kit pada 27 Oktober depan.

Pejabat Pesuruhjaya Banci 2020 menerusi satu kenyataan pada Sabtu berkata, ia bagi memastikan tiada sesiapa yang tertinggal dalam pelaksanaan proses Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020 (Banci Malaysia 2020) dengan aktiviti bancian secara bersemuka itu diteruskan sehingga 31 Oktober depan.

“DOSM juga telah melaksanakan program membantu golongan gelandangan bagi tujuan bancian peringkat negeri Selangor di Klang, dekat sini malam tadi (Jumaat), selain di Kelantan, Sarawak dan Perlis yang dibuat secara serentak,” menurut kenyataan itu pada Sabtu.

Kenyataan itu turut memaklumkan DOSM telah mendapat kebenaran Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi melaksanakan Banci Malaysia 2020 secara bersemuka dan Drop Off and Pick Up (DOPU) dalam tempoh Pelan Pemulihan Negara (PPN) termasuk ke atas golongan gelandangan.

Menurutnya Banci Malaysia 2020 menerusi panggilan panggilan telefon atau Computer Assisted Telephone Interview (CATI) masih diteruskan sehingga 31 Oktober depan bagi meliputi mereka yang masih belum melengkapkan proses bancian.

“Orang ramai yang masih belum membuat pengisian banci diseru memberi kerjasama dengan mengisi maklumat melalui sistem panggilan telefon CATI atau secara bersemuka. Sila layari portal www.mycensus.gov.my atau terus ke pejabat DOSM negeri terdekat,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!