JPJ naik taraf sistem perkhidmatan ke arah pendigitalan

Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk Zailani Hashim (kanan) menyampaikan Anugerah Keseluruhan Terbaik kepada peserta kursus Mohd Pendi Murat, 34, pada Majlis Perbarisan Tamat Latihan Asas Pegawai Pengangkutan Jalan Siri 1/2021 di Akademi JPJ di Tiang Dua hari ini.- Foto Bernama
Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk Zailani Hashim (kanan) menyampaikan Anugerah Keseluruhan Terbaik kepada peserta kursus Mohd Pendi Murat, 34, pada Majlis Perbarisan Tamat Latihan Asas Pegawai Pengangkutan Jalan Siri 1/2021 di Akademi JPJ di Tiang Dua hari ini.- Foto Bernama
A
A
A

MELAKA - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sedang menaik taraf sistem perkhidmatannya ke arah pendigitalan secara berperingkat bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan dan penyampaian kepada pelanggan.

Ketua Pengarahnya, Datuk Zailani Hashim berkata, pendigitalan berkenaan melibatkan semua perkhidmatan JPJ termasuk memperbaharui lesen kenderaan motor selaras dengan slogan sambutan Jubli Platinum (Ulang Tahun ke-75) JPJ pada April lepas iaitu 'Digitalisasi Melestari Integriti'.

"Itu antara usaha terkini yang kita akan gerakkan dalam masa terdekat selepas melalui semua proses yang sepatutnya.

"Setakat ini, usaha ini telah mencapai lebih 50 peratus meliputi semua aspek termasuk pengumpulan maklumat dan penyediaan infrastruktur bagi melaksanakannya,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perbarisan Tamat Latihan Asas Pegawai Pengangkutan Jalan Siri 1/2021 di Akademi JPJ di Tiang Dua di sini pada Sabtu.

Pada majlis itu, seramai 103 peserta kursus terdiri daripada 12 pegawai penguat kuasa gred KP41, penolong pegawai penguat kuasa gred KP29 (58 orang), pembantu penguat kuasa gred KP19 (32 orang) dan seorang pemeriksa kereta motor gred AB19 berjaya menamatkan latihan lebih sebulan sejak 1 September hingga Sabtu.

Mengulas lanjut, Zailani berkata, setakat ini antara perkhidmatan yang telah melalui proses pendigitalan ialah pembelian nombor kenderaan menerusi sistem JPJeBid manakala sistem JPJeQ iaitu nombor giliran bagi melakukan urus niaga JPJ telah dilaksanakan di beberapa kaunter Pejabat JPJ di seluruh negara.

"Kita jangkakan sistem JPJeQ ini akan diguna pakai di semua kaunter Pejabat JPJ di seluruh negara pada tahun hadapan bagi memudahkan pelanggan dan melancarkan urusan mereka," katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, JPJ telah berjaya mengumpul kutipan hasil mencecah RM3 bilion dalam tempoh Januari hingga September tahun ini walaupun berdepan dengan pandemik Covid-19.

Artikel Berkaitan:

"Tahun lepas kita berjaya mengutip hasil berjumlah RM4.2 bilion tetapi disebabkan Covid-19 jumlah itu sedikit berkurang namun saya yakin kita dapat mencapai sasaran RM4 bilion kutipan untuk tahun ini.

"JPJ bernasib baik sebab kita ada perkhidmatan secara dalam talian selain kerjasama dengan rakan strategik seperti Pos Malaysia, Puspakom dan MyEG yang membantu dari segi kutipan hasil," katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!