PRU15: Warisan tolak dakwaan tanding semua kerusi Parlimen
KOTA KINABALU - Parti Warisan Sabah (Warisan) menolak dakwaan akan bertanding di semua kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.
Ketua Penerangan Warisan, Datuk Awang Ahmad Sah Sahari berkata, baru-baru ini Warisan menyatakan kesediaan untuk bertanding di kawasan tertentu di Semenanjung untuk PRU15 dengan kerjasama Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda).
Beliau berkata, Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata demikian menerusi aplikasi Zoom bersama The Concorde Club yang terdiri daripada wartawan-wartawan kanan di negara ini.
"Bagaimanapun, beliau tidak menyatakan berapa jumlah kerusi dan kawasan yang akan ditandingi kerana perkara ini masih di dalam pertimbangan dan perbincangan di peringkat Pusat.
"Ulasan yang dibuat oleh Datuk Seri Presiden (Mohd Shafie) adalah sebagai respons spontan apabila ditanya oleh wartawan di dalam pertemuan melalui aplikasi Zoom berkenaan," jelasnya dalam kenyataan pada Ahad.
Awang Ahmad bagaimanapun berkata, perkara itu telah menarik perhatian ramai khususnya pemerhati dan pengikut perkembangan politik.
"Sehingga ada yang sanggup menabur fitnah di media sosial kononnya Warisan akan bertanding di semua kerusi Parlimen pada PRU15.
"Warisan menolak dakwaan tersebut dan pada masa ini semua pemimpin Warisan di setiap peringkat sentiasa fokus mengangkat isu dan permasalahan rakyat yang memerlukan perhatian serta tindakan segera," jelasnya.
Sehubungan itu, Awang Ahmad menegaskan bahawa perbuatan menyebarkan berita palsu merupakan tindakan yang tidak bertanggungjawab dan hanya ingin mengelirukan rakyat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!